Perbezaan Pendapat di Kalangan Pendakwah

June 18, 2007 at 12:58 pm | Posted in Motivasi Pejuang | Leave a comment

Persoalan yang sering bermain di dalam diri pendakwah dan sebahagian besar daripada mereka menganggap bahawa medan dakwah sunyi daripada perbezaan pendapat. Mereka menyangka pendakwah sentiasa bersetuju dalam kata yang satu semasa mereka menunaikan tanggungjawab dakwah. Seolah-olah pendakwah adalah alat mekanik yang bergerak tanpa naluri perasaan atau seperti barangan elektronik yang diprogramkan tanpa membantah apa sahaja arahan yang diberikan kepadanya.

Kita meyakini bahawa lapangan dakwah adalah lapangan manusia iaitu di dalamnya berlaku apa sahaja situasi dan masalah yang turut juga berlaku pada mana-mana suasana masyarakat samada perbezaan pendapat atau kesilapan. Kita juga tidak mendakwa para pendakwah sebagai maksum(terpelihara) daripada dosa dan kesalahan. Setiap perbezaan pendapat berlaku dengan melihat dari kaca mata fitrah insaniah dan masih lagi dibatasi oleh sempadan ukhuwah dan saling nasihat menasihati. Perbezaan pendapat yang berlaku di antara para pendakwah hanyalah untuk mencari kebenaran, bertukar-tukar pandangan dan sentiasa dalam syariat agama. Ini kerana para pendakwah ingin bertaqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah swt dalam setiap perkataan yang mereka lafazkan. Mereka hanya mengharapkan redha Allah swt dalam setiap perbuatan dan tindakan. Maka tiada ruang untuk perdebatan yang hangat, saling berdendam atau memenangkan pendapat peribadi dengan tujuan dakwah dan maslahahnya. Inilah yang membezakan sikap para pendakwah dengan kelompok manusia yang lain. Justeru itu, kita pasti bahawa pendakwah juga adalah manusia biasa dan boleh melakukan kesilapan yang tidak disengajakan.

 

Objektif Dakwah

Objektif Dakwah yang agung memerlukan peribadi yang berdisiplin dalam melaksanakannya, efisien dalam menyampaikan dakwah, meraikan segala suasana masyarakat yang diseru. Tidak mampu untuk dibayangkan seorang pendakwah yang ingin memperbaiki urusan masyarakat, membawa hidayah kepada mereka dan memikul bebanan dakwah akan menyalahkan saudara seperjuangannya di dalam satu saf jika berlaku perselisihan, meninggikan suara dalam berbicara, menggunakan perkataan yang kurang enak didengar ataupun memboikot antara satu sama lain.

Dakwah kepada Allah itu Seni

Sebagaimana kita semua dituntut untuk menyampaikan dakwah kepada semua manusia, menjelaskan keindahan Islam, berusaha membawa hidayah kepada mereka, menanamkan Fikrah Islamiah di dalam jiwa mereka dan mentarbiyah mereka dengan sempurna dan selari dengan manhaj Islam; kita juga dituntut untuk menerima pelbagai pendapat sesama pendakwah dan saling meraikan sikap dan tingkah laku antara pendakwah di dalam saf. Maka dakwah itu seni yang harus dikembangkan dan dikuasai. Seorang pendakwah harus belajar teknik berbicara dan menyatakan pendapat agar apa yang ingin disampaikannya diterima oleh orang lain dengan hati yang terbuka dan difahami dengan jelas.

Bagaimana sikap kita jika berlaku perselisihan?

Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini,medan amal dakwah tidak akan sunyi daripada masalah walaupun sehari! Setiap masalah yang timbul mesti diselesaikan dengan cara yang terbaik dan dipersetujui oleh semua pihak dalam suasana tawadhu’(rendah diri) dan mencari keredhaan Allah swt sehinggalah dimudahkan urusan oleh Nya.

1. Bermaaf-maafan

Seorang pejuang kebenaran sekalipun diselubungi kesedihan atau marah dengan sikap saudara seperjuangan, dia tetap meyakini bahawa di sana ada jalan keluar bagi setiap kesempitan urusan duniawi ini. Dia mudah untuk memaafkan kesilapan yang dilakukan oleh saudaranya. Dia tidak mudah menuduh secara melulu atau memperbesarkan lagi masalah yang telah timbul.

Abu Mansur bin Abdullah al-hirawi: Aku mendengar Abu Ali Ath-thaqafi berkata: “Jika kamu merasa terhina oleh tindakan daripada salah seorang saudaramu, carilah untuknya 70 alasan, jika hatimu tidak mampu menerima alasan tersebut. Ketahuilah bahawa kamulah yang bersalah kerana tidak mampu untuk menerima walaupun 70 alasan untuk saudaramu”.

 

2.Menyerahkan kepada niatnya

 

 

Setiap perbuatan manusia bergantung kepada niatnya. Hadis Rasulullah saw: “Sesungguhnya perbuatan itu dikira dengan niat”(Riwayat Bukhari) . Selagimana setiap perbuatan itu berkait rapat dengan niat, kita serahkan urusan itu kepada Allah swt. Hanya Allah swt yang mengetahui niat dalam perbuatan seseorang dan bukanlah tugas kita untuk mengetahui niat sebenar di sebalik sesuatu tindakan.

 

3. Menolak prasangka

Ini tidak bermaksud untuk kita diam dalam perbincangan sekiranya saling berbeza pendapat atau mengetepikan kebebasan hak untuk bersuara dan melontarkan pendapat, tetapi yang dimaksudkan di sini ialah tidak gopoh sehinggalah jelas sesuatu perkara kerana ada kemungkinan seseorang yang telah melakukan kesilapan akan meminta maaf apabila tersedar. Ini dapat memberi peluang kepada kita untuk berfikir dan mengkaji sesuatu masalah tanpa cepat marah. Selain itu, ia dapat memberi kesempatan kepada pihak yang tersilap untuk segera memohon kemaafan dan membetulkan kesalahan yang telah dilakukan. Dan juga mereka dapat menjelaskan isu sebenar kerana mungkin kesalahan yang dilakukan itu disebabkan oleh sifat lupa, kurang pengetahuan, tidak sedar dan sebagainya.

Kesimpulan

Sekali lagi dinyatakan bahawa meraikan keadaan manusia dan niat mereka dapat mengukuhkan ukhuwah islamiah di antara pendakwah Islam. Semoga Allah merahmati Ibnu Qayyim yang berkata: “Janganlah kamu berperasangka kepada niat seseorang yang bercakap kerana ia adalah jenayah dalam Syariat dan dikaitkan kepadanya(perasangka tersebut) apa yang dia bebas daripadanya”


Leave a Comment »

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.
Entries and comments feeds.

%d bloggers like this: