Sya’ban Anugerah Rabbani

August 25, 2007 at 9:55 pm | Posted in Motivasi Pejuang | Leave a comment

00012002.jpg

Bulan Sya’ban telah datang lagi, bulan anugerah rabbani dan pencetus keimanan. Bulan yang dilimpahi kebaikan dan keberkatan sebagai persediaan untuk menyambut ketibaan tetamu agung, Ramadhan Kareem. Bulan ini juga memiliki kedudukan yang tinggi disisi Rasulullah saw kerana baginda memperbanyakkan puasa padanya. Apabila ditanya tentang itu, baginda menjawab dengan kata-kata yang indah: “Inilah bulan yang ramai manusia lalai daripadanya, bulan antara Rajab dan Ramadhan, bulan yang padanya diangkat amalan kepada Tuhan sekalian alam. Oleh itu, aku suka amalanku diangkat dalam keadaan aku berpuasa.” (Riwayat Annasaie, Abu Daud dan disahihkan oleh Ibnu Huzaimah).

Ya Allah….Rasul kami yang telah diampuni dosanya yang lalu dan akan datang sangat menjaga agar dirinya tidak terlepas daripada ganjaran hebat ini, baginda memastikan agar amalannya diangkat kepada Allah dan dirinya sedang berpuasa, sedangkan amalannya semua merupakan kebaikan! Bagaimana pula dengan nasib kami ini? Amat sedikit kebaikan yang telah kami lakukan sedangkan amalan akan diangkat kepada Allah. Apa pula nasib mereka yang mengutamakan dunia melebihi akhirat, menipu saudaranya seIslam, menyakiti jiran tetangga, merasa dengki dengan kaum kerabat dan selalu mengadu domba antara manusia?!! Apa nasib mereka ketika amalan mereka dipersembahkan di hadapan Pemilik Syurga dan Neraka? Bagaimana pula dengan mereka yang sedang bermaksiat tatkala segala amalannya dilihat oleh Rabbul Jalil? Tidak malukah kita dengan Allah swt sedangkan kita masih ada peluang untuk bertaubat.

Kecuali Syirik dan Hasad dengki

Sesungguhnya amalan kebaikan kita yang sedikit ini tatkala diangkat ke Tuhan Yang Maha Pengampun pada malam pertengahan bulan Sya’ban, maka Allah akan ampuni segala dosa dan kesalahan kita kecuali dosa syirik dan hasad dengki sebagaimana yang disebut dalam hadis daripada Muadz bin Jabal bahawa Rasulullah saw bersabda: “Allah swt melihat kepada semua makhluk ciptaanya pada malam pertengahan bulan Sya’ban, maka dia mengampunkan semua dosa makhluknya kecuali dosa syirik dan hasad dengki” (Riwayat Tabarani dalam Al-Kabir wal Awsat).

Wahai teman-temanku, periksalah dirimu adakah hatimu benar-benar ikhlas kepada Tuhanmu? Mungkin jiwamu telah dicemari dengan syirik sedangkan engkau tidak mengetahuinya! Riya’ adalah salah satu daripada jenis syirik dan meresap ke dalam sanubari seseorang tanpa dia merasainya. Baginda saw bersabda: “Perkara yang paling aku takuti terhadap kamu adalah syirik kecil. Maka ditanya tentangnya, baginda menjawab: Riya” (Riwayat Al-Hafiz Al-Iraqi dalam Takhrij Ahadith Al-Ihya’)

Satu lagi dosa yang tidak diampuni oleh Allah swt ialah dosa hasad dengki, maka ini menunjukkan kepada bahaya hasad dengki diantara manusia. Ini bermaksud seseorang dengki kepada saudaranya seIslam kerana iri dan mengikut hawa nafsu dalam dirinya, bukan kerana sebab-sebab yang dibenarkan syara’ lalu menghalang keampunan pada saat yang penuh kerahmatan ini. Sebagaimana diriwayatkan dalam Sahih Muslim daripada Abu Hurairah r.a. secara marfu’ : “Pintu syurga dibuka pada setiap hari Isnin dan Khamis lalu diampuni dosa setiap hamba yang tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu kecuali lelaki yang hasad dengki antara dirinya dan saudaranya maka Allah berfirman: Lihatlah kepada dua orang ini sehinggalah mereka saling berbaik-baik”.

Maka bagaimana pula keadaan anda dengan isteri, anak-anak, ibubapa dan kaum kerabat? Adakah terdapat sesuatu perasaan hasad dalam hatimu kepada orang di sekeliling anda? Adakah wujud persengketaan antara dirimu dan rakan taulan, jiran tetangga atau sesiapa sahaja? Jika ada, sucikan dirimu, perbaiki urusanmu dengan orang yang anda bersengketa walaupun bukan anda yang bersalah. Mulakan dengan dirimu dan maafkan dirinya kelak Allah swt akan ampuni dirimu. Kita semua sangat berhajat kepada ampunan Tuhan dan kasih sayangNya.

Di manakah kita semua berbanding mereka?

Para sahabat r.a dan tabiin sangat mengambil berat tentang bulan ini secara serius setelah mereka mengetahui keindahannya dan kemuliaan yang terkandung di dalamnya. Mereka menjadikan Al-quran sebagai teman dengan membacanya dan mempelajarinya. Mereka bersedekah dengan harta yang dimiliki dan saling berlumba-lumba ke arah kebaikan seolah-olah sebagai latihan persediaan untuk memasuki bulan agung, Ramadhan. Tatkala mereka memasuki bulan Ramadhan, jiwa mereka telah bersedia dengan iman yang membara, lidah yang basah dengan zikrullah, anggota badan yang suci daripada melakukan larangan Allah swt lalu mereka merasai kelazatan qiamullail dan puasa. Mereka tidak sedikit pun jemu untuk melakukan ketaatan kerana hati telah disinari keceriaan iman dan meliputi seluruh nafas pergerakan.

Ayuh bersegaralah mengejar kebaikan yang ada ini!!!

Leave a Comment »

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.
Entries and comments feeds.

%d bloggers like this: