Walimah yang penuh ceria

February 28, 2008 at 10:14 pm | Posted in Diari Al-Azhar | 6 Comments
img_0033.jpg

Selepas hampir dua minggu saya dan isteri menjalani hidup berumah tangga, majlis walimah atau kenduri kahwin pun dilangsungkan menepati sunnah Rasulullah saw “Laksanakanlah walimah walaupun dengan seekor kambing”. Majlis walimah amat dituntut sebagai tanda kesyukuran kita kepada Allah swt yang telah menemukan hati dua insan dengan cara syarak. Juga sebagai pengisytiharan rasmi kepada masyarakat bahawa pasangan ini telah diikat secara sah sebagai suami isteri supaya mengelak prasangka dan salah faham. Begitulah telitinya Islam menjaga keharmonian ummat dan menjamin kehormatan maruah seseorang individu dan sesebuah keluarga.

img_1793.jpg

Tarikh 15 Februari 2008 menjadi pilihan tarikh bersejarah ini dan ia juga bersamaan hari ulang tahun kelahiran saya yang ke 23. Ayah mentua saya, Ustaz Abdul Halim turut mengambil kesempatan menunaikan aqiqah dengan 2 ekor khoruf sempena kelahiran anak yang ke 13 bernama Ahmad Shahid. Semoga aqiqah itu menjadikan kenduri ini semakin diberkati. Acara memasak bermula sehari sebelum walimah. Semua kenalan dan sahabat handai yang menjadi ganti ahli keluarga mengambil bahagian dalam menyediakan juadah kenduri. Lauk yang menjadi menu istimewa ialah daging kari, ayam masak merah dan acar sayur. Inilah kelebihan berkahwin di luar Negara menjadikan hubungan ukhuwah itu semakin intim dan sangat rapat seperti adik beradik yang dicincang tidak akan putus. Memotong bawang sama-sama sampai mengalir air mata menahan pedihnya asid yang terhasil. Semangat gotong-royong atau rewang yang menjadi identiti bangsa melayu masih hidup dan diamalkan oleh kami mahasiswa Malaysia di perantauan. Bayangkan bagaimana persediaan memasak untuk tetamu seramai 700 orang!! Seolah-olah mustahil kerana kekurangan pengalaman dan ilmu, tetapi dengan perancangan yang teliti beserta ukhuwah yang tinggi semuanya menjadi mudah.

 

img_0019.jpg

Kenduri kahwin telah diadakan di Dewan Jawa milik mahasiswa Indonesia yang disewakan kepada umum. Tempat pengantin lelaki dan perempuan berasingan kerana acara dewan yang berbeza. Ini juga untuk meraikan dan memberi kebebasan kepada tetamu perempuan yang ingin meraikan pengantin perempuan dengan persembahan pentas dan nasyid. Biarkan hari indah ini disambut dengan meriah dan penuh syukur kepada yang Maha Esa. Isteri saya yang pernah bersekolah di Mesir ketika mengikuti ibubapanya melanjutkan pelajaran di Universiti Al-Azhar turut menerima kehadiran bekas rakan sekolah berbangsa Arab. Orang Arab memang gembira menyambut perkahwinan seseorang apatah lagi kalau rakan mereka yang berkahwin! Mereka datang dengan halawiyat (manisan Arab) serta hadiah-hadiah lain. Mereka juga mengadakan persembahan dengan budaya mereka sebagai tanda gembira meraikan perkahwinan rakan mereka. Dek kerana terlalu gembira, ada daripada mereka yang begitu bersemangat dengan bertanya untuk memberikan kelengkapan rumah seperti peti sejuk dan mesin basuh sebagai hadiah! Dahsyatnya!! Satu budaya yang agak mengkagumkan diri saya dan isteri. Dengan penuh sopan kami menolak permintaan tulus mereka kerana tidak mahu memberatkan bebanan mereka.


Pihak pengantin lelaki pula memulakan majlis tepat pukul 1 petang selepas menunaikan solat Jumaat. Saya yang berbaju kebangsaan lengkap berwarna hijau muda tiba dengan menaiki kereta Matrix milik seorang kenalan rapat. Jika di tanah air menjadi adat rasmi pengantin disambut dengan paluan kompang, tetapi di sini saya disambut dengan alunan zikir selawat ke atas Nabi Muhammada saw. Asalkan mood majlis dapat disegarkan sudah cukup meskipun kompang tiada. Seterusnya saya mengambil tempat di kerusi khas di pentas dewan. Begitu ramai tetamu yang hadir memeriahkan maljis walimah ini dan mereka datang tidak putus-putus sehingga akhir majlis sekitar jam 6 petang. Selepas bacaan al-qur’an daripada surah Ar-rum diperdengarkan, pengerusi majlis, Salman Abdul Rahman, sahabat saya sejak tingkatan 4 walaupun kami berlainan sekolah memulakan majlis.Beliau juga menghiburkan para hadirin dengan menyelitkan ungkapan pantun yang memang terkenal dalam majlis-majlis tradisi kaum Melayu. Antara rangkap-rangkap pantun:

Amat garang Datuk Bentara,

Musuh melanggar habis dibenam,

Dulu seorang kini berdua,

Hidup bersama susah senang.

Tunduk segala rakyat jelata,

Memberi takzim raja gahari,

Raja rupawan di atas takhta,

Duduk memerintah barang sehari.

Beliau turut menanyakan soalan cepu emas dalam bentuk pantun kepada saya;

Dari Muar ke Ipoh Perak,

Dagang merantau beratus batu,

Surat tidak,SMS pun tidak,

Bila agaknya kalian bertemu?

Saya pun dengan penuh yakin dan ceria membeli pantun daripadanya lalu menjawab;

Orang jauh berkirim surat,

Berkali-kali dibaca jua,

Ikan di laut, asam di darat

Dalam kuali bertemu jua.

Ikan di laut, asam di darat,

Dalam kuali bertemua jua,

Berjumpa hati, janji diikat,

Atas fikrah bertemu jua.

Itulah sebahagian pantun yang memberi nafas segar dalam majlis kenduri pada petang tersebut. Saya turut menjawab beberapa soalan daripada sebahagian tetamu dalam sesi ramah mesra bersama pengantin. Antara soalan yang dikemukakan berkaitan tentang perkara yang menjadi dasar dalam perkahwinan dan persediaan sebelum berkahwin. Secara peribadi saya menjawab dasar kita berkahwin adalah untuk menyahut seruan Nabi Muhammad saw serta memperbanyakkan zuriat para solehin yang akan memandu alam ke arah cahaya hidayah dan petunjuk. Perkahwinan yang mengikat dua insan yang ditarbiyyah dengan tarbiyah Islamiah juga merupakan asas kukuh kepada sebuah masyarakat muslim yang diidamkan. Selain itu, ia juga mampu mematangkan tingkah laku dan memikul tanggungjawab sebagai suami yang berat. Persediaan perkahwinan pula saya bahagikan kepada 3 aspek; persediaan jiwa dengan ibadah dan zikir supaya Allah swt memberi kekuatan. Persediaan ilmu seperti fiqh munakahat, adab-adab dan segala panduan Rasulullah saw tentang pertunangan dan perkahwinan. Juga dengan membaca kisah rumahtangga muslim yang telah dibina oleh para nabi, sahabat dan juga salafussoleh. Daripada generasi mereka lahirnya Umar bin Abdul Aziz dan Salahuddin Al-Ayubi. Rumah mereka menjadi mata air yang mengalirkan barakah kepada masyarakat di sekeliling. Persediaan terakhir berbentuk kewangan dan kesihatan tubuh badan. Tanggungjawab suami untuk menyediakan kelengkapan zahir dan batin kepada isteri telah tertulis di dalam syariat. Maka sesiapa yang ingin berkahwin seharusnya melakukan persediaan yang rapi dan sempurna.

Majlis walimah tidak akan sempurna tanpa penghibur telinga dan irama yang mendamaikan tetamu yang datang berkunjung. Jutaan terima kasih kepada para penasyid yang telah mempersembahkan beberapa nasyid yang mantap. Para pengunjung tidak berganjak dari tempat duduk menantikan persembahan nasyid ini. Banyak hadiah yang kami terima dalam beraneka bentuk dan saiz. Semoga Allah membalas pemberian kalian dengan Jannah milikNya. Ameen ya Rabb.

img_0031.jpg
Gambar bersama barisan kepimpinan ISMA Mesir

6 Comments »

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

  1. Baarakallahu lakuma, wa baarik alaikuma, wa jama’a baina kuma fil khair …

  2. Salam dr Malaysia..

    “Hendaklah kamu memastikan pasangan kamu menghormati Fikrah (Perjuangan Ideologi) yang kamu bawa”-Imam As-Syaheed Hasanul Banna-

    kembarnya, bila pula??🙂

  3. Semoga ikatan antuma akan memperkasakan lagi dakwah di mesir.
    Bagi mereka yang ingin mendirikan bait muslim ambillah nasihat dan panduan yang diberikan bagi membentuk bait muslim yang bakal melahirkan tokoh-tokoh murabbi bakal mentarbiah ummah ini.

  4. ukhuwwah fillah,…

    mcm x percaya pulak,senior ana yg dulu pernah bertungkus lumus utk sambungkan pertalian da’wah ini kini “terus melangkah” jauh ke destinasi akhir…BARAKALLAHU FIIK !!

    Semoga kekuatan islam semakin menyengat,menyinga…dan semoga khilafah islamiah makin bangkit dgn pertambahan baitul muslim yg dibina. Insya-allah..

    ameen…

  5. omedetto gozaimasu..congratulations! mudah2an bahagia ke anak cucu dunia akhirat.wajaalna lilmuttaqiina imama ya Allah

  6. Salam ukhuwwah.

    Congratulations. Semoga kehidupan enta bersama insan istimewa sentiasa dalam rahmatNya. Amin.


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.
Entries and comments feeds.

%d bloggers like this: