Satu Perjalanan

May 20, 2008 at 3:40 am | Posted in Uncategorized | Leave a comment

Baru-baru ini ayah mertua saya, Ustaz Abdul Halim datang ke Mesir bersama rombongan umrahnya. Ramai pasti bertanya, kenapa perjalanan umrah perlu singgah terlebih dahulu di Lapangan Terbang Kaherah? Bukankah boleh terus sahaja mengambil syarikat penerbangan yang menawarkan perjalanan sehala Kuala Lumpur-Jeddah. Jawapan amat mudah. Pakej umrah kali ini mengajak para pesertanya untuk melawat bumi Mesir yang digelar sebagai bumi para nabi sebelum tiba ke Tanah Haram untuk mengerjakan ibadah umrah. Lagipun, kini syarikat penerbangan Mesir, Egypt Air sudah memulakan operasi di KLIA. Jadi ini peluang yang sangat berharga bagi rakyat Malaysia untuk lebih mengenali Mesir sebagai lembah yang telah melahirkan ramai jiwa-jiwa suci yang sedia berkorban untuk Islam.

Gambar berlatar belakangkan Sungai Nil

Kali ini saya terlibat secara tidak langsung dalam menguruskan para jemaah umrah yang kebanyakan terdiri daripada golongan veteran. Ada juga beberapa orang anak muda kelihatan di antara mereka. Banyak juga kelebihan pakej umrah sebegini diadakan antaranya ialah para jemaah dapat melawat sendiri anak-anak bangsa yang sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Al-Azhar atau pusat pengajian tinggi lain di sini. Memang sejak sebelum negara mencapai kemerdekaan lagi, ramai anak muda telah meredah lautan untuk sampai ke sini dan menggali kehebatan khazanah ilmu agama dari universiti tertua di dunia ini. Apatah lagi, ayah mertua saya sengaja menempah penempatan para jemaah di kawasan Kompleks Pelajar Malaysia di Kaherah. Ini untuk memberikan suasana seolah-olah para jemaah berada di tanah air kerana di kelilingi para mahasiswa yang tinggal di situ. Sebenar bagi mereka yang bermusafir ke luar negara akan merasa sangat gembira jika terjumpa kelompok masyarakat sebangsa tinggal di negeri asing. Kebetulan pula kawasan di Kompleks tersebut terdapat warung-warung makanan Melayu yang menyelerakan buat mengubat rindu kepada lauk-pauk tanah air. Ini juga dapat menghubungkan terus para jemaah dengan kehidupan para pelajar dan saling berkenalan dengan mereka.

Perjalanan program lawatan di Mesir merangkumi pakej selama 3 hari. Pada hari pertama, lawatan dinamakan Ziarah Islamiah iaitu melawat Masjid Al-Azhar, Universiti Al-Azhar, Bazar Khan Khalili, Kubu Panglima Salahuddin Al-Ayubi, Masjid Imam Syafie dan tempat-tempat bersejarah Islam yang lain. Saya dan isteri serta adik ipar turut mengambil kesempatan berharga ini untuk menyertai rombongan melawat tempat-tempat bersejarah ini. Satu pengalaman berharga ketika melawat Universiti Al-Azhar ialah kami terserempak dengan Ketua Badan Ulama Al-Azhar (Jabhah Ulama’) yang merupakan badan bagi menaungi semua ulama di Al-Azhar. Ayah mertua saya yang sedar dan terus menegur ulama besar tersebut. Kami sungguh kagum dengan sikap rendah diri beliau meskipun mengetuai sebuah badan paling dihormati di kalangan para cendiakawan sedunia. Tubuhnya yang sudah tua sambil memakai pakaian rasmi ulama Al-Azhar. Lagi menyebabkan kami terharu ialah beliau boleh meluangkan sedikit masa bersama kami untuk bersembang dan juga bergambar kenangan. Semoga Allah memelihara beliau. Bazar Khan Khalili boleh diibaratkan sebuah tempat membeli belah dengan harga murah. Kawasan yang terkenal di kalangan pelajar Melayi di sini sememangnya menawarkan harga berpatutan untuk barangan seperti baju kenangan Mesir, cenderahati dan lain-lain.

Piramid


Hari kedua diteruskan dengan lawatan kesan-kesan tinggalan pemerintahan Firaun. Ini termasuk Piramid di Giza dan Muzium Firaun di Tahrir. Seperti yang diketahui, Piramid merupakan satu-satunya 7 binaan paling ajaib di dunia yang kekal tempat pertama hingga sekarang. Binaan yang sangat hebat ini merupakan salah satu kesan tinggalan Firaun. Dikatakan pyramid dibina sebagai lambang kebesaran pada zaman tersebut. Selain itu, apabila seseorang Raja meninggal dunia segala barang kebesaran milik peribadi akan dikumpulkan di dalam bilik mayat tersebut yang terletak di tengah-tengah sesebuah piramid. Di dataran piramid yang terletak di Giza terdapat 3 buah piramid yang besar. Setiap piramid telah dibina oleh Firaun yang berlainan mengikut zaman masing-masing. Tatkala berada di di hadapan piramid, kita dapat melihat dan merasai bagaimana Raja dahulu memperhambakan rakyat semata-mata untuk mencapai cita-cita peribadi berdasarkan teguhnya piramid ini berdiri meskipun telah berusia hampi ratusan ribu tahun. Sudah pasti ribuan orang rakyat yang menjadi buruh kerahan telah dipergunakan oleh Raja ketika itu dan banyak yang mati ketika bekerja akibat kelaparan. Kini binaan tersebut masih lagi wujud sebagai pengajaran kepada manusia lain agar tidak lalai dengan kesenangan dunia. Dahulunya semua Raja Firaun yang hidup bersikap bongkak dan zalim. Mereka bebas melakukan apa sahaja tanpa peduli perasaan dan nasib rakyat. Bahkan rakyat telah dijadikan hamba abdi untuk merealisasikan impian kotor mereka. Tapi, di mana semua itu sekarang? Di mana harta merka yang melimpah ruah? Di mana pengawal yang dulunya menjaga keselamatan diri mereka? Semuanya telah hilang dan lenyap. Yang kekal hanya Allah yang Maha Hidup.

137. Sesungguhnya telah berlaku sebelum kamu (contoh kejadian-kejadian berdasarkan) peraturan-peraturan Allah Yang tetap; oleh itu mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah Bagaimana akibat orang-orang Yang mendustakan (Rasul-rasul). (Ali Imran:137)

Inilah perintah Allah kepada kita semua supaya berjalan dan mengembara di atas muka bumi ini untuk mengambil pengajaran daripada kaum-kaum yang terdahulu.

Muzium Firaun di Tahrir


Ini merupakan kali pertama saya masuk ke dalam Muzium Firaun setelah sebelum ini hanya

mendengar teman-teman lain bersembang mengenainya. Kalaulah bukan untuk melihat sendiri wajah Firaun Ramsis 2 yang dikisahkan sebagai Firaun yang menentang Nabi Musa dan mendakwa dirinya sebagai tuhan.

24. Dengan berkata: “Akulah Tuhan kamu Yang Tertinggi”

Bangunan berwarna merah yang terletak di tengah kesibukan Medan Tahrir, salah satu kawasan paling sibuk di Mesir mengandungi seribu satu khazanah tamadun lama. Ratusan pelancong keluar dan masuk ke dalam bangunan ini menandakan ia adalah antara tempat tumpuan daripada seluruh dunia. Ini kerana di dalamnya terdapat sebuah bilik yang menempatkan pelbagai mayat Raja firaun terdahulu dalam bentuk mumia. Salah seorang daripada mereka ialah Ramsis 2 yang mati lemas ditelan air Laut Mati semasa mengejar Nabi Musa dan Bani Israel. Hampir terdapat 10 mumia dalam bilik tersebut dan kesemuanya sama antara satu sama lain. Rangka yang telah rosak dan warna sudah bertukar kehitam-hitaman kecuali Ramses 2 yang masih lagi kelihatan seolah-olah tidak terkesan dengan perubahan cuaca dan masa. Mukanya turut jelas menunjukkan wajah seorang yang telah memusuhi Allah dan para nabiNya. Marilah kita semua mengambil iktibar yang amat berharga ini supaya kita terselamat daripada ancaman azab Allah swt.

92. “Maka pada hari ini, Kami biarkan Engkau (hai Firaun) terlepas dengan badanmu (yang tidak bernyawa, daripada ditelan laut), untuk menjadi tanda bagi orang-orang Yang di belakangmu (supaya mereka mengambil itibar). dan (ingatlah) Sesungguhnya kebanyakan manusia lalai daripada (memerhati dan memikirkan) tanda-tanda kekuasaan Kami!”.

Leave a Comment »

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.
Entries and comments feeds.

%d bloggers like this: