Wawancara bersama Sumayyah Masyhur

September 15, 2009 at 9:57 pm | Posted in Biografi, Motivasi Pejuang | 1 Comment

mustafa

Berikut adalah wawancara khas Ikhwanonline.com bersama anak perempuan Al-Marhum Ustaz Mustafa Mashur, Mursyidul Am ke 5 Jamaah Ikhwan Muslimin tentang pengalamannya berpuasa bersama-sama dengan ayah tercinta.

Sudah pasti terdapat kenangan indah bagi Ramadhan bersama ayah anda, Syeikh Mustafa Masyhur. Boleh kongsikan bersama kami bagaimana beliau melatih anda berpuasa?

Saya sudah mula berpuasa sejak usia kecil, seingatnya ketika berumur 4-5 tahun, ketika ayah masih di dalam tahanan penjara. Beliau sering menggalakkan kami dengan puasa sunat (Isnin-Khamis- 3 hari setiap pertengahan bulan). Beliau juga memberikan nasihat dan mengikuti perkembangan setiap orang ahli keluarganya.

Boleh anda kisahkan bagaimana jadual beliau bersama keluarga sepanjang Ramadhan?

Pada hakikatnya, harinya pada Ramadhan tidak berbeza dengan hari-hari di bulan lain dalam amalan ibadah seperti tilawah Al-quran, puasa, sedekah dan qiamullail. Qiamullail beliau semuanya sama pada setiap masa sekalipun bukan pada Ramadhan. Beliau mentarbiyyah kami dengan perkara ini meskipun ada juga amalan tambahan seperti perjumpaan sebelum Maghrib untuk membaca Mathurat dan tilawah Al-Quran. Kami sekeluarga akan bangun sejam setengah sebelum Subuh untuk Qiamullail dan Sahur bersama-sama. Kadangkala kami akan duduk beribadah sehingga matahari terbit (Syuruq).

Apakah nilai-nilai tarbawi yang beliau tumpukan untuk ditanam dalam jiwa kalian sepanjang Ramadhan?

Banyak. Menjaga hubungan keluarga, sifat pemurah, tidak membazir dalam makanan, berasa cukup dengan pembahagian Allah swt. Beliau juga sangat menitik beratkan supaya pengisian masa yang berharga, lebih-lebih lagi dakwah semasa Ramadhan adalah satu peluang keemasan. Begitu juga sifat bertolak ansur dan berkasih sayang disemai pada bulan yang mulia ini.

Bagaimana pula jadual dakwah beliau pada Ramadhan?

Beliau sangat sibuk pada bulan Ramadhan dengan perjumpaan dengan ikhwah-ikhwah samada di Kaherah maupun di daerah-daerah lain. Beliau sering berbuka puasa bersama ikhwah-ikhwah dan sedikit sahaja hari untuk beliau berbuka puasa bersama keluarga. Beliau terlalu sedikit berehat dan tidak melepaskan waktu berlalu tanpa dakwah. Baginya dakwah kepada Allah swt merupakan bekalan sepanjang Jalan Dakwah.

Adakah beliau membiasakan amalan tertentu pada Ramadhan?

Ya. Beliau sentiasa menghubungi saudara mara dan ahli keluarga pada malam pertama Ramadhan. Beliau juga selalu mengagihkan buah tamar/kurma kepada rakan dan jiran tetangga. Di samping itu, beliau tidak akan ketinggalan menghadiri majlis berbuka puasa bersama ahli keluarga yang lain. Beliau juga akan solat Hari Raya Aidil Fitri di kampung halaman dan mengimami penduduk kampungnya. Selepas itu, beliau akan beramah mesra dengan mereka sambil menyampaikan mesej Islam yang syumul.

Advertisements

Salam Daripada Pengantin

February 25, 2008 at 4:26 am | Posted in Biografi, Diari Al-Azhar | 1 Comment

Syukran kepada semua yang terlibat dalam menjayakan majlis pernikahan kami berdua. Tarikh 1 februari 2008 merupakan detik berharga dalam hidup saya dan pasangan tercinta, Uswah Hasanah binti Abdul Halim. Meskipun berlaku sedikit kelam kabut pada saat-saat akhir sebelum bermula akad nikah, akhirnya Allah swt memudahkan jua urusan hambaNya selagimana hamba itu menyerahkan sepenuhnya urusan kepada Tuhan Sekalian Alam. Masjid Salam yang terkenal di kalangan pelajar Malaysia yang tinggal di  Nasr City di Cairo menjadi tempat pilihan untuk akad nikah berlangsung. Pada mulanya kami sekadar menjemput teman rapat untuk menghadiri majlis itu, tetapi terkejut tidak terkata apabila tetamu yang datang hampir mencecah angka 150 orang. Mereka datang dari seluruh muhafazah(wilayah di Mesir) dari Dumyat dan Alexendria hinggalah dari Syubra Kheimah. Jazakumullah Khaira Kathira. Pagi Jumaat yang agak cerah itu dengan cuaca yang amat baik seolah-olah turut sama meraikan kegembiraan kami. Segalanya berjalan lancar dan saya amat tenang pada hari itu. Lafaz akad nikah diucapkan dengan sekali lafaz dan bersyukur kepada Allah atas pertolonganNya serta memohon panduan daripadaNya. Setelah bergelar suami isteri yang sah secara syarak, ucapan tahniah dan mabruk pun datang menghujani diri ini. Tiada lafaz mahupun kata-kata yang mampu diucapkan selain Alhamdulillah.

Terima kasih kepada kedua ibubapa kami, Selamat bin Talib dan Rokiah binti Aziz serta Haji Abdul Halim bin Abdullah dan Hajah Fariza binti Ibrahim kerana merestui dan memberi sokongan padu kepada kedua-dua anakmu ini. Semoga Allah menempatkan kalian di Syurga FirdausNya. Juga tidak lupa kepada semua sanak-saudara dan kaum kerabat yang terdekat, minta maaf kerana tidak mengadakan majlis di bumi Malaysia tapi tentu ada hikmah yang tersirat. Insya Allah jika diizinkan kita bertemu, tentunya pertemuan itu akan menjadi seindah-indah peristiwa dalam hidup ini. Seterusnya kepada semua kawan-kawan kami yang menjadi ganti sanak saudara di perantauan ini, yang telah bertungkus lumus menyediakan juadah serta lauk pauk, menghias dewan dan bilik pengantin, dan semua kerja-kerja yang menjadikan majlis kami berdua berjaya dengan gemilang. Semoga Allah swt membalas dengan Syurga. Ameen Ya Rabb

 Bersambung….

Create a free website or blog at WordPress.com.
Entries and comments feeds.