Diari seorang Mujahid (Mahasiswa)

November 30, 2011 at 11:37 pm | Posted in Uncategorized | Leave a comment

Biasanya zaman bergelar seorang mahasiswa merupakan era gemilang seorang pendakwah. Penglibatan rasmi sebagai seorang pejuang Islam selalunya bermula pada waktu ini. Aktivisme yang bersifat organisasi mengisi kebanyakan ruang masa dalam jadual harian. Bermula seusai solat subuh dengan tazkirah pagi, kemudian mesyuarat biro ataupun lujnah. Sarapan pagi bersama rakan ketika ini merupakan antara detik-detik indah dalam diari panjang diselit perbincangan ‘tajuk-tajuk panas’ membuatkan mereka semua ibarat ahli Parlimen yang sedang membahaskan sesuatu di Dewan Rakyat. Gerak kerja tidak berhenti dengan bermulanya kelas kuliah; bahkan kehadiran ke kelas bukan hanya untuk menimba sesuatu daripada pensyarah tetapi sudah ada agenda tersendiri. Ini dinamakan sebagai Tabie’yyah Tanfiziyyah (Tabiat semulajadi untuk melaksanakan tugasan dakwah)

Tajuk perbualan yang akan dikongsi bersama rakan-rakan lain sudah pun dipilih semalamnya sebelum tidur. Isu belia Islam, pembinaan jatidiri, krisis dunia Islam, perkembangan politik semasa atau apa sahaja isu yang seharusnya seorang daie bicarakan sebagai maudhuk dakwah. Huraian disisipkan sekali dengan nas Al-Quran maupun hadis menjadikan para pendengar yakin dan bertambah minat terhadap dakwah. Bukan sekadar semangat  spontan semata-mata yang biasanya menjadikan perbincangan tidak terarah dan lebih emosi berbanding praktikal tindakan. Seorang pejuang Islam mesti sentiasa ada topik perbincangan. Sikap membiarkan masa berlalu tanpa disambar peluang memulakan ruang perbualan dengan manusia lain hanya menyebabkan dakwah Islam tidak berkembang. Rupanya punca  kelewatan kemenangan Islam adalah diri kita sendiri.

Tidak kira di mana tempatnya atau masa; samada waktu interval antara kelas, ketika di kedai makan, selepas menunaikan solat Jamaah di masjid, sedang mesyuarat atau pendek kata bila-bila sahaja. Nabi Yusuf as menyampaikan dakwahnya di dalam penjara, Nabi Ibrahim berdakwah ketika berseorangan di padang pasir. Nabi Muhammad saw menyampaikan dakwah ketika sedang menggali parit Khandaq. Prinsip asas sebagai dakwah anda mesti bercakap dan menyampaikan dakwah anda. Firman Allah swt : Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan kebajikan dan berkata ” sesungguhnya, aku termasuk orang yang berserah diri.( Fushilat:33)

Usah sempitkan kefahaman dakwah bahawa maudhuk dakwah mesti berbentuk ceramah, tazkirah, daurah, bedah buku, bengkel atau lain-lain. Semua itu adalah program dengan masa yang terhad dan fokus kepada sesuatu topik secara khusus. Dakwah Islam menjangkaui semua itu. Apa sahaja bentuk dan pendekatan dakwah yang bertepatan dengan syarak seharusnya menjadi seni kita. Kemahiran menegur ketika bersua, kemahiran bersembang dengan ahli kariah masjid, kemahiran bergaul dengan kejiranan, kemahiran menjadi tempat rujukan orang lain dan banyak lagi untuk kita bentuk dalam usaha menyampaikan dakwah Islam ini.

Pantang ada sesuatu sempena Islam dalam masyarakat; Maulid Nabi, Awal Muharam, Israk Mikraj, Nuzul Quran, Haji, Korban, Ramadhan dan banyak lagi tarikh utama dalam kalendar Islam, seorang pendakwah sudah pun ada jadualnya untuk acara khusus itu. Jadual itu dibuat oleh dirinya sendiri atas kefahaman terhadap dakwah dan rindunya kepada syurga Firdaus. Jadual itu lengkap dengan nama madu’, mesej yang mahu disampaikan, pendekatan yang digunakan, tarikh acara dan segala perincian lain. Mudah bicara; bilamana seseorang itu sudah diresapi kefahaman wajib dakwah dan diselubungi bayangan azab kepada golongan yang duduk…. dia akan hidup dengan dakwah dan dakwah hidup dengannya.

Setelah seharian berlalu, dia akan bangun munajat di sepertiga malam untuk bersama dengan Pencipta-Nya. Slogan “Ruhban Billail, Fursan Binnahar” benar-benar menjadi kemestian baginya. Rintihan, tangisan, pengharapan, ketakutan kepada balasan azab, kerinduan kepada Nabi Muhammad saw memenuhi detik-detik malam yang sepi. Sujud yang lama menjadi tanda hakikat seorang hamba di depan Allah swt. Kejayaan dakwah tidak langsung bergantung kepada kehebatan peribadi tetapi tawakkal itulah rahsia kemenangan awal di Badar.

Perutusan Aidil Fitri 1431

September 8, 2010 at 11:09 pm | Posted in Uncategorized | Leave a comment

الحمد لله الذى بنعمته تتم الصالحات و الصلاة و السلام على محمد و على آله و أصحابه اجمعين

Rakan-rakan mahasiswa dan mahasiswi di Perlembahan Nil,

Saya mewakili ahli-ahli ISMA-Mesir mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada semua pelajar dan rakyat Malaysia yang berada di Bumi Mesir. Maaf Zahir Batin.

Sekali lagi Aidil Fitri datang membawa saat gembira dan suka bagi umat Islam. Datangnya sebagai lambang kejayaan bagi umat Islam kerana berjaya mengharungi sebulan Ramadhan dengan berlapar dahaga di siang hari dan beribadah sebanyak mungkin pada malamnya. Sabda Rasulullah saw: rugilah bagi sesiapa yang telah merugikan (Ramadhan), dan untunglah bagi sesiapa yang berjaya (memanfaatkan Ramadhan). Ibadah berpuasa juga  secara tidak langsung membawa mesej kepada dunia; umat Islam akhir zaman masih lagi berpegang teguh dengan perintah Allah swt dengan kemampuan mereka melaksanakannya dalam suasana Islam ditindas di seluruh pelusuk alam. Masih wujud kelompok (thoifah) yang memenangkan kebenaran dan mereka akan selamanya muncul sehingga hari Kiamat. Sinar Islam pasti kembali suatu hari nanti.

Hadis “Akan senantiasa ada di antara umatku suatu kelompok yang tampil membela kebenaran, tidak membahayakan mereka orang yang menghina (tidak menolong) mereka sehingga datang ketetapan Allah, sedang mereka tetap dalam keadaan demikian.” (HR. Muslim)

Hari raya juga merupakan hari umat Islam mempamerkan kekuatan persaudaraan Islam yang terjalin erat dengan simpulan aqidah. Ibadah solat sunat Aidil Fitri disunatkan untuk didirikan di tanah lapang supaya semangat kebersamaan itu lebih dirasai.Umpama satu perarakan ketenteraan yang perkasa dan tersusun. Laungan takbir beramai-ramai dengan suara yang nyaring merupakan simbolik  seolah-olah kita sedang meraikan kemenangan yang agung dan suci. Marilah kita hayati erti takbir dan maani yang terkandung di dalamnya. Kita membenarkan dengan iman yang mendalam bahawa Allah Maha Besar. Allah adalah matlamat akhir setiap Muslim. Kita juga menyaksikan risalah Tauhid adalah misi besar setiap Muslim dalam kehidupannya. Kita mahu menuju ‘ubudiyyah total kepada Allah swt dalam segenap aspek meliputi ‘aqidah, ibadah, akhlak dan agenda perjuangan. Keikhlasan dan tajarrud sebagai dua syarat utama yang seharusnya kita semua penuhi jika mendaulatkan Islam sebagai tunjang perjuangan.

Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah taghut. (An-Nahl:36)

Kita yakin dan mengimani Allah swt akan membenarkan janjinya kepada para hambaNya yang soleh dan beriman serta berjuang. Sejarah perang Ahzab akan berulang semula. Tentera muslimin yang diketuai oleh Rasulullah saw menghadapi gabungan raksasa tentera dunia; hampir-hampir mustahil untuk menang. Namun, akhirnya kemenangan daripada Allah swt datang selepas para muslimin bersatu di atas dasar aqidah dan diperkukuhkan dengan benteng ukhuwah Islamiah. Mereka memahami wala’ hanya untuk Allah, Rasulnya dan semua muslimin. Tiada tentera atas muka bumi yang mampu mengalahkan pasukan pejuang yang menjadikan Rasulullah sebagai Ketua dan Qudwah.

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang) (al-ahzab:21)

Semua maani-maani yang hebat ini diulang-ulang oleh semua umat Islam mulai malam Raya hingga saat Imam mengetuai solat sunat Aidil Fitri. Persoalan yang perlu kita fikirkan; adakah kita menghayatinya dan beramal di atas laungan takbir tersebut?  Sesungguhnya lafaz tersebut menggerunkan hati musuh Islam dan menggegarkan setiap satu kuasa taghut yang masih berdiri di atas bumi Allah.

Kenapa kandungan takbir raya seperti ini? Jawapannya, ingin mengingatkan semua umat Islam bahawa kejayaan berjihad melawan hawa nafsu hanya sebagai salah satu tangga-tangga dalam kamus Jihad yang luas.Ia sebagai pemula yang seharusnya dikekalkan dan disusuli dengan jihad-jihad yang lain. Ini juga memberikan satu kefahaman yang jelas bahawa kemenangan hakiki adalah pada harinya kita meraikan detik Islam menguasai dan memegang tampuk pemerintahan dunia. Itulah Hari Raya yang kita tunggu saat kedatangannya dengan amal dan usaha yang berterusan dan kesabaran para ulul ‘azmi dari kalangan rasul-rasul.

Ini dia agenda kita bersama. Tapi; bagaimana semuanya bermula? Ia bermula dengan kita mengembalikan jati diri Islam yang semakin hilang dalam peribadi bangsa Melayu beragama Islam di tanah air kita. Jatidiri muslim sejati yang sejahtera aqidah dan kuat ibadah. Kita mahukan muslim yang bertubuh kuat dan mampu melawan hawa nafsunya. Juga seorang yang menjaga waktu, menyusun urusan kehidupan harian dengan sistematik. Kita juga mahu membina kehendak kendiri yang kuat serta mampu berdikari dan mereka akan memberi manfaat kepada bangsa, negara dan Islam. Ayuh; mahasiswa dan mahasiswi di Mesir kita menyediakan persiapan yang lengkap untuk kembali berkhidmat di Malaysia nanti. Utamakan agenda bangsa dan agama daripada agenda peribadi nafsu yang inginkan kuasa semata-mata.

Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir Batin

Melayu Sepakat, Islam Berdaulat

Ustaz Shuhaib Ar-rumy Selamat

Pengerusi ISMA-Mesir

Agenda besar penentu corak kehidupan

November 9, 2009 at 3:03 pm | Posted in Uncategorized | 12 Comments

Bagi seseorang yang benar-benar ingin mencapai sesuatu yang besar, nescaya dia pasti akan menjelmakan cita-citanya itu dalam kehidupan seharian. Masa dan waktu tidak akan dibiarkan berlalu begitu sahaja tanpa di isi dengan perkara bermanfaat. Setiap pergerakan dan nafas yang keluar masuk dari tubuh dipastikan bagi menggapai tujuan tertinggi. Jadi kita sebagai barisan mahasiswa yang juga pendakwah hendaklah serius dalam memikirkan agenda kita adalah besar dan agung.

Kita bukan hanya mahu pulang menggalas ijazah atau lain-lain sijil akademik semata-mata. Bukan jua hanya membataskan kemahiran kepada pengurusan organisasi dan pengendalian mesyuarat. Tidak juga sekadar berputar di sekitar usrah, qiamullail dan kem-kem motivasi. Kita mesti letakkan sesuatu yang besar dalam jadual rutin harian kita. Usah kita jadi seperti manusia kebanyakan yang mengulangi putaran yang sama setiap hari. Akhirnya tiba masanya untuk berpindah ke dalam liang lahad. Dirinya sendiri tidak menyedari perjalanan hidup yang cukup singkat.

Seorang tabiin pernah menyatakan “Hammuka ala qadari ma ahammak” yang bermaskud “Keseriusan anda adalah bergantung pada kadar apa yang kamu sibukkan”. Ini bererti jika seseorang itu sibuk dengan membincangkan sesuatu yang tidak berfaedah, maka tahap seriusnya dalam hidup ini juga seperti itu. Saya melihat ramai di kalangan kita kurang mahir menyusun jadual waktu dan menentukan awlawiyat dalam pengurusan. Kadangkala kita meletakkan urusan yang sepatutnya dianggap penting di tempat nombor 2 ataupun seterusnya. Begitu juga sebaliknya. Kita menjadikan perdebatan tentang sesuatu yang tidak penting sebagai salah satu kesibukan yang utama. Akibatnya, banyak masa kita terbuang begitu sahaja. Peribadi diri dan pembangunan syakhsiah tidak diberikan penekanan. Skil-skil major sebagai seorang mahasiswa seperti bakat kepimpinan, pengurusan ogranisasi, perhubungan sentara, berhujah secara ilmiah tidak dikuasai. Isu penguasaan bidang takhasus juga menjadi satu persoalan besar kepada kita semua. Adakah kita benar-benar menguasai ilmu yang kita pelajari atau ia sekadar tiket dalam peperiksaan bagi mandapatkan segulung ijazah? Sebagai graduan Azhari dan jua Timur Tengah, kita seharusnya memastikan diri kita bersedia untuk bersaing dengan lulusan graduan daripada universiti tempatan maupun lepasan universiti luar negara yang lain. Sejauh manakah kita mampu menongkah arus materialistik masyarakat di tanah air nanti.

Sekirannya kita jelas dan terang apakah kesibukkan yang seharusnya kita libatkan dan korbankan diri dan masa, sudah tentu tidak ada bagi kita ruang-ruang kecil untuk sesuatu yang tidak bermanfaat. Ada manusia akan sibuk mengulas dan bercakap-cakap tentang kerja orang. Mereka boleh kita ibaratkan sebagai penonton kepada perlawanan bola sepak. Mereka akan terus bertutur dan mengkritik. Usah dipedulikan dengan semua itu kerana kita lah pemain dalam padang dan gelanggang. Kita lebih mengetahui taktik dan cara kerja kita. Ada juga manusia yang sanggup menghabiskan masa menjadi golongan “Nammam” iaitu istilah peribahasnya batu api. Kerjanya bangun pagi dan update blog supaya manusia ini berpecah belah dan meruntuhkan kasih sayang antara satu sama lain. Mereka menyatakan ini adalah blog peribadi dan hak mereka untuk tulis apa sahaja. Saya mahu katakan pada mereka; Tulislah dan publish semahunya, tapi setiap kita ada buku catatan masing-masing. Jika anda rasa itu usaha anda bagi menggapai redha Allah swt, teruskan hingga ke akhir hayat anda. Tapi awas, jika hati kecil ada membisikkan tentang ragunnya tentang kerja itu, elok benar anda hentikan sebelum Izrail menjengah tiba.

Agenda peningkatan diri dan ilmu itu yang perlu kita jadikan dalam tempoh masa di perantauan ini. Perkara-perkara riuh dan gempak itu kadangkala mampu mengalihkan pandangan kita daripada mencapai objektif dan sasaran yang telah kita gariskan. Jika ada ribut dan taufan, kita umpamakannya seperti ribut dalam secawan kopi. Hanya satu putaran sementara bagi melarutkan sesuatu di dalamnya!

Dengki dengan orang lain

March 17, 2009 at 12:04 pm | Posted in Uncategorized | 74 Comments

fathi-yakan

Ustaz Fathi Yakan, Ulama Lubnan yang banyak menyumbang kepada perkembangan dakwah di dunia

Ini adalah saringan bebas saya daripada buku karangan ulama Lubnan, Ustaz Fathi Yakan bertajuk “Bahtera Penyelamat”. Semoga bermanfaat untuk semua pembaca.

Kadang-kadang di atas Jalan dakwah ini kita bertemu dengan gangguan daripada saudara seperjuangan. Seolah-olah mereka cuba menghentikan kita daripada beramal atas kefahaman kita yang sahih dan jelas. Mereka berusaha melakukan pelbagai cara dan taktik supaya kita duduk dan menganggur. Pendek kata, mereka mahukan kita ini keluar dari Jalan yang panjang ini. Dahsyat sungguh! Continue Reading Dengki dengan orang lain…

Apa yang kita mahukan?

May 27, 2008 at 4:49 am | Posted in Uncategorized | 8 Comments

Saya mahukan rumah yang besar! Sebahagian yang lain pula mahukan kerjaya yang mampu memberi kedudukan di mata masyarakat. Ada juga yang mahukan wang yang berlipat-lipat kali ganda supaya dapat menjamin masa depan anak cucu. Tidak kurang juga yang mengejar pangkat dan jawatan tinggi seolah-olah kuasa adalah segalanya. Continue Reading Apa yang kita mahukan?…

Pengadil yang Beriman

May 20, 2008 at 3:50 am | Posted in Uncategorized | 11 Comments

Beliau merupakan pengadil bola sepak pertama Mesir yang menghentikan perlawanan untuk menghormati laungan azan solat tanpa bertanya terlebih dahulu kepada pegawai perlawanan daripada Persatuan Bola Sepak Mesir. Siapakah yang begitu berani ini? Continue Reading Pengadil yang Beriman…

Satu Perjalanan

May 20, 2008 at 3:40 am | Posted in Uncategorized | Leave a comment

Baru-baru ini ayah mertua saya, Ustaz Abdul Halim datang ke Mesir bersama rombongan umrahnya. Ramai pasti bertanya, kenapa perjalanan umrah perlu singgah terlebih dahulu di Lapangan Terbang Kaherah? Continue Reading Satu Perjalanan…

Isu terkini di Gaza

January 19, 2008 at 9:18 am | Posted in Uncategorized | 4 Comments

a1.jpg 

Semasa saya sedang menulis entri ini, angka bilangan rakyat Palestin yang gugur terkorban sudah hampir mencecah 34 orang dalam tempoh 72 jam. Semoga mereka ditempatkan bersama-sama syuhada yang lain. Continue Reading Isu terkini di Gaza…

Haj Mabrur Wa Zanbun Maghfur

December 17, 2007 at 12:01 pm | Posted in Uncategorized | Leave a comment

imgi1.jpg

Bulan zulhijjah tiba lagi kali ini. Kali kedua saya menyambutnya di bumi Mesir. Kali ini agak berlainan kerana saya akan menyambutnya di Kaherah bersama rakan pengganti keluarga tercinta. Sambutan Aidil Adha tahun lepas di Tanta dan umat Islam telah dihina dengan pelaksanaan hukuman gantung Saddam Hussen pada pagi raya. Saya dan rakan-rakan mengikuti berita panas tersebut melalui siaran televisyen satelite sambil kami menyediakan juadah untuk majlis raya.Kita dapat lihat betapa bencinya musuh Islam sehinggkan sanggup menghina seorang muslim sedemikian rupa.

Seperti biasa, solat raya di negara arab akan dilakukan di kawasan lapang. Tidak kira jalanraya,tempat letak kenderaan, stadium dan mana-mana tempat yang boleh memuatkan bilangan jemaah yang ramai. Suasana seperti ini jarang-jarang sekali terdapat di tanah air. Jalan utama akan ditutup dan tikar dihamparkan. Semua keluar;orang tua,lelaki,wanita dan kanak-kanak. Gambaran yang begitu mengharukan. Lambang kesatuan ummah yang berdiri teguh. Sujud penuh kerendahan diri ke arah satu kiblat. Beginilah antara hikmah agung ibadah Haji setiap tahun di Makkah mukaramah. Hampir 3 juta umat Islam berhimpun di dataran yang sama. Pakaian hanya dua helai kain putih seperti kain kafan. Tidak kira Yang dipertuan Agung mahupun peniaga pasar malam. Semua sama.

Sekarang kita dalam 10 awal Zulhijjah. Tiada hari yang lebih berharga daripada hari-hari ini. Banyak hadis yang menyebut tentang perkara ini. Jadikan ini detik untuk kembali kepada Allah. “Hari yang kita tidak bermaksiat dengan Allah merupakan hari raya bagi kita”. Jadikan seluruh hari-hari anda sebagai hari raya. Berpuasalah pada hari Arafah, nescaya dosa-dosa akan diampuni oleh Yang Maha Menerima Taubat.

pa130040.jpg

Keberkatan Ramadhan

September 21, 2007 at 8:37 am | Posted in Uncategorized | Leave a comment

ramadhan

Ramadhan merupakan  madrasah agung yang banyak untuk kita pelajari daripadanya. Cara terbaik untuk mengenali tetamu yang mulia ini ialah dengan melihat bagaimana Rasulullah saw menyambut bulan ini. Bagaimaa baginda bersedia untuknya? Sejak bulan Rajab lagi baginda sudah berdoa “Ya Allah berkatilah kami dalam bulan Rajab dan Sya’ban dan sampaikan kami ke bulan Ramadhan”. Inilah persedian jiwa dan kerinduan muslimin yang inginkan segala kebaikan yang terkandung dalam bulan ini.

Ramadhan merupakan titik tolak kepada perubahan diri seseorang ke arah yang lebih baik. Pakar psikologi menyatakan bahawa:  jika manusia ingin mengubah sikapnya, hendaklah dia berterusan membiasakan dirinya dengan sikap yang baru selama 21 hari, inilah Ramadhan yang datang untuk membiasakan kita dengan sikap positif selama 30 hari! Semoga Ramadhan mampu membiasakan kita dengan sifat-sifat berikut:

1. Ikhlas…..Puasa merupakan satu-satunya ibadah yang menjadi rahsia antara hamba dan TuhanNya. Ibadah yang khusus untuk Allah swt. Ibadah lain seperti sujud dan korban boleh dibuat selain kerana Allah tetapi kita tidak dapati seseorang puasa kecuali kerana Allah swt.

2. Sabar….. Seorang muslim berlatih untuk bersabar dan memikul bebanan. Pada bulan-bulan lain mungkin kita selalu marah dan bersikap kurang sabar, tetapi dalam bulan Ramadhan kita akan bersabar sehingga waktu berbuka puasa.

3. Penyantun….. Sekiranya seseoarang dicaci atau diejek, dia terus berkata: “Ya Allah aku sedang berpuasa”, maka ini melatih kita untuk menahan marah.

4. Disiplin dan ketepatan masa…Waktu adalah kehidupan, seperti yang dinyatakan Hassan al-Banna. Pada bulan-bulan lain kita jarang sekali melihat kepada jam waktu, tetapi dalam Ramadhan kita sentiasa meneliti waktu seperti sahur, berbuka puasa dan waktu azan.

5. Kesatuan ummah…bilangan muslimin seluruh dunia mencapai 1 billion. Bayangkan jumlah yang sebegitu ramai bersama-sama berpuasa dan berkumpul untuk beribadah.

Blog at WordPress.com.
Entries and comments feeds.