Diari seorang Mujahid (Mahasiswa)

November 30, 2011 at 11:37 pm | Posted in Uncategorized | Leave a comment

Biasanya zaman bergelar seorang mahasiswa merupakan era gemilang seorang pendakwah. Penglibatan rasmi sebagai seorang pejuang Islam selalunya bermula pada waktu ini. Aktivisme yang bersifat organisasi mengisi kebanyakan ruang masa dalam jadual harian. Bermula seusai solat subuh dengan tazkirah pagi, kemudian mesyuarat biro ataupun lujnah. Sarapan pagi bersama rakan ketika ini merupakan antara detik-detik indah dalam diari panjang diselit perbincangan ‘tajuk-tajuk panas’ membuatkan mereka semua ibarat ahli Parlimen yang sedang membahaskan sesuatu di Dewan Rakyat. Gerak kerja tidak berhenti dengan bermulanya kelas kuliah; bahkan kehadiran ke kelas bukan hanya untuk menimba sesuatu daripada pensyarah tetapi sudah ada agenda tersendiri. Ini dinamakan sebagai Tabie’yyah Tanfiziyyah (Tabiat semulajadi untuk melaksanakan tugasan dakwah)

Tajuk perbualan yang akan dikongsi bersama rakan-rakan lain sudah pun dipilih semalamnya sebelum tidur. Isu belia Islam, pembinaan jatidiri, krisis dunia Islam, perkembangan politik semasa atau apa sahaja isu yang seharusnya seorang daie bicarakan sebagai maudhuk dakwah. Huraian disisipkan sekali dengan nas Al-Quran maupun hadis menjadikan para pendengar yakin dan bertambah minat terhadap dakwah. Bukan sekadar semangat  spontan semata-mata yang biasanya menjadikan perbincangan tidak terarah dan lebih emosi berbanding praktikal tindakan. Seorang pejuang Islam mesti sentiasa ada topik perbincangan. Sikap membiarkan masa berlalu tanpa disambar peluang memulakan ruang perbualan dengan manusia lain hanya menyebabkan dakwah Islam tidak berkembang. Rupanya punca  kelewatan kemenangan Islam adalah diri kita sendiri.

Tidak kira di mana tempatnya atau masa; samada waktu interval antara kelas, ketika di kedai makan, selepas menunaikan solat Jamaah di masjid, sedang mesyuarat atau pendek kata bila-bila sahaja. Nabi Yusuf as menyampaikan dakwahnya di dalam penjara, Nabi Ibrahim berdakwah ketika berseorangan di padang pasir. Nabi Muhammad saw menyampaikan dakwah ketika sedang menggali parit Khandaq. Prinsip asas sebagai dakwah anda mesti bercakap dan menyampaikan dakwah anda. Firman Allah swt : Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan kebajikan dan berkata ” sesungguhnya, aku termasuk orang yang berserah diri.( Fushilat:33)

Usah sempitkan kefahaman dakwah bahawa maudhuk dakwah mesti berbentuk ceramah, tazkirah, daurah, bedah buku, bengkel atau lain-lain. Semua itu adalah program dengan masa yang terhad dan fokus kepada sesuatu topik secara khusus. Dakwah Islam menjangkaui semua itu. Apa sahaja bentuk dan pendekatan dakwah yang bertepatan dengan syarak seharusnya menjadi seni kita. Kemahiran menegur ketika bersua, kemahiran bersembang dengan ahli kariah masjid, kemahiran bergaul dengan kejiranan, kemahiran menjadi tempat rujukan orang lain dan banyak lagi untuk kita bentuk dalam usaha menyampaikan dakwah Islam ini.

Pantang ada sesuatu sempena Islam dalam masyarakat; Maulid Nabi, Awal Muharam, Israk Mikraj, Nuzul Quran, Haji, Korban, Ramadhan dan banyak lagi tarikh utama dalam kalendar Islam, seorang pendakwah sudah pun ada jadualnya untuk acara khusus itu. Jadual itu dibuat oleh dirinya sendiri atas kefahaman terhadap dakwah dan rindunya kepada syurga Firdaus. Jadual itu lengkap dengan nama madu’, mesej yang mahu disampaikan, pendekatan yang digunakan, tarikh acara dan segala perincian lain. Mudah bicara; bilamana seseorang itu sudah diresapi kefahaman wajib dakwah dan diselubungi bayangan azab kepada golongan yang duduk…. dia akan hidup dengan dakwah dan dakwah hidup dengannya.

Setelah seharian berlalu, dia akan bangun munajat di sepertiga malam untuk bersama dengan Pencipta-Nya. Slogan “Ruhban Billail, Fursan Binnahar” benar-benar menjadi kemestian baginya. Rintihan, tangisan, pengharapan, ketakutan kepada balasan azab, kerinduan kepada Nabi Muhammad saw memenuhi detik-detik malam yang sepi. Sujud yang lama menjadi tanda hakikat seorang hamba di depan Allah swt. Kejayaan dakwah tidak langsung bergantung kepada kehebatan peribadi tetapi tawakkal itulah rahsia kemenangan awal di Badar.

Leave a Comment »

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a comment

Create a free website or blog at WordPress.com.
Entries and comments feeds.