Diari seorang Mujahid (Mahasiswa)

November 30, 2011 at 11:37 pm | Posted in Uncategorized | Leave a comment

Biasanya zaman bergelar seorang mahasiswa merupakan era gemilang seorang pendakwah. Penglibatan rasmi sebagai seorang pejuang Islam selalunya bermula pada waktu ini. Aktivisme yang bersifat organisasi mengisi kebanyakan ruang masa dalam jadual harian. Bermula seusai solat subuh dengan tazkirah pagi, kemudian mesyuarat biro ataupun lujnah. Sarapan pagi bersama rakan ketika ini merupakan antara detik-detik indah dalam diari panjang diselit perbincangan ‘tajuk-tajuk panas’ membuatkan mereka semua ibarat ahli Parlimen yang sedang membahaskan sesuatu di Dewan Rakyat. Gerak kerja tidak berhenti dengan bermulanya kelas kuliah; bahkan kehadiran ke kelas bukan hanya untuk menimba sesuatu daripada pensyarah tetapi sudah ada agenda tersendiri. Ini dinamakan sebagai Tabie’yyah Tanfiziyyah (Tabiat semulajadi untuk melaksanakan tugasan dakwah)

Tajuk perbualan yang akan dikongsi bersama rakan-rakan lain sudah pun dipilih semalamnya sebelum tidur. Isu belia Islam, pembinaan jatidiri, krisis dunia Islam, perkembangan politik semasa atau apa sahaja isu yang seharusnya seorang daie bicarakan sebagai maudhuk dakwah. Huraian disisipkan sekali dengan nas Al-Quran maupun hadis menjadikan para pendengar yakin dan bertambah minat terhadap dakwah. Bukan sekadar semangat  spontan semata-mata yang biasanya menjadikan perbincangan tidak terarah dan lebih emosi berbanding praktikal tindakan. Seorang pejuang Islam mesti sentiasa ada topik perbincangan. Sikap membiarkan masa berlalu tanpa disambar peluang memulakan ruang perbualan dengan manusia lain hanya menyebabkan dakwah Islam tidak berkembang. Rupanya punca  kelewatan kemenangan Islam adalah diri kita sendiri.

Tidak kira di mana tempatnya atau masa; samada waktu interval antara kelas, ketika di kedai makan, selepas menunaikan solat Jamaah di masjid, sedang mesyuarat atau pendek kata bila-bila sahaja. Nabi Yusuf as menyampaikan dakwahnya di dalam penjara, Nabi Ibrahim berdakwah ketika berseorangan di padang pasir. Nabi Muhammad saw menyampaikan dakwah ketika sedang menggali parit Khandaq. Prinsip asas sebagai dakwah anda mesti bercakap dan menyampaikan dakwah anda. Firman Allah swt : Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan kebajikan dan berkata ” sesungguhnya, aku termasuk orang yang berserah diri.( Fushilat:33)

Usah sempitkan kefahaman dakwah bahawa maudhuk dakwah mesti berbentuk ceramah, tazkirah, daurah, bedah buku, bengkel atau lain-lain. Semua itu adalah program dengan masa yang terhad dan fokus kepada sesuatu topik secara khusus. Dakwah Islam menjangkaui semua itu. Apa sahaja bentuk dan pendekatan dakwah yang bertepatan dengan syarak seharusnya menjadi seni kita. Kemahiran menegur ketika bersua, kemahiran bersembang dengan ahli kariah masjid, kemahiran bergaul dengan kejiranan, kemahiran menjadi tempat rujukan orang lain dan banyak lagi untuk kita bentuk dalam usaha menyampaikan dakwah Islam ini.

Pantang ada sesuatu sempena Islam dalam masyarakat; Maulid Nabi, Awal Muharam, Israk Mikraj, Nuzul Quran, Haji, Korban, Ramadhan dan banyak lagi tarikh utama dalam kalendar Islam, seorang pendakwah sudah pun ada jadualnya untuk acara khusus itu. Jadual itu dibuat oleh dirinya sendiri atas kefahaman terhadap dakwah dan rindunya kepada syurga Firdaus. Jadual itu lengkap dengan nama madu’, mesej yang mahu disampaikan, pendekatan yang digunakan, tarikh acara dan segala perincian lain. Mudah bicara; bilamana seseorang itu sudah diresapi kefahaman wajib dakwah dan diselubungi bayangan azab kepada golongan yang duduk…. dia akan hidup dengan dakwah dan dakwah hidup dengannya.

Setelah seharian berlalu, dia akan bangun munajat di sepertiga malam untuk bersama dengan Pencipta-Nya. Slogan “Ruhban Billail, Fursan Binnahar” benar-benar menjadi kemestian baginya. Rintihan, tangisan, pengharapan, ketakutan kepada balasan azab, kerinduan kepada Nabi Muhammad saw memenuhi detik-detik malam yang sepi. Sujud yang lama menjadi tanda hakikat seorang hamba di depan Allah swt. Kejayaan dakwah tidak langsung bergantung kepada kehebatan peribadi tetapi tawakkal itulah rahsia kemenangan awal di Badar.

Perutusan Aidil Fitri 1431

September 8, 2010 at 11:09 pm | Posted in Uncategorized | Leave a comment

الحمد لله الذى بنعمته تتم الصالحات و الصلاة و السلام على محمد و على آله و أصحابه اجمعين

Rakan-rakan mahasiswa dan mahasiswi di Perlembahan Nil,

Saya mewakili ahli-ahli ISMA-Mesir mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada semua pelajar dan rakyat Malaysia yang berada di Bumi Mesir. Maaf Zahir Batin.

Sekali lagi Aidil Fitri datang membawa saat gembira dan suka bagi umat Islam. Datangnya sebagai lambang kejayaan bagi umat Islam kerana berjaya mengharungi sebulan Ramadhan dengan berlapar dahaga di siang hari dan beribadah sebanyak mungkin pada malamnya. Sabda Rasulullah saw: rugilah bagi sesiapa yang telah merugikan (Ramadhan), dan untunglah bagi sesiapa yang berjaya (memanfaatkan Ramadhan). Ibadah berpuasa juga  secara tidak langsung membawa mesej kepada dunia; umat Islam akhir zaman masih lagi berpegang teguh dengan perintah Allah swt dengan kemampuan mereka melaksanakannya dalam suasana Islam ditindas di seluruh pelusuk alam. Masih wujud kelompok (thoifah) yang memenangkan kebenaran dan mereka akan selamanya muncul sehingga hari Kiamat. Sinar Islam pasti kembali suatu hari nanti.

Hadis “Akan senantiasa ada di antara umatku suatu kelompok yang tampil membela kebenaran, tidak membahayakan mereka orang yang menghina (tidak menolong) mereka sehingga datang ketetapan Allah, sedang mereka tetap dalam keadaan demikian.” (HR. Muslim)

Hari raya juga merupakan hari umat Islam mempamerkan kekuatan persaudaraan Islam yang terjalin erat dengan simpulan aqidah. Ibadah solat sunat Aidil Fitri disunatkan untuk didirikan di tanah lapang supaya semangat kebersamaan itu lebih dirasai.Umpama satu perarakan ketenteraan yang perkasa dan tersusun. Laungan takbir beramai-ramai dengan suara yang nyaring merupakan simbolik  seolah-olah kita sedang meraikan kemenangan yang agung dan suci. Marilah kita hayati erti takbir dan maani yang terkandung di dalamnya. Kita membenarkan dengan iman yang mendalam bahawa Allah Maha Besar. Allah adalah matlamat akhir setiap Muslim. Kita juga menyaksikan risalah Tauhid adalah misi besar setiap Muslim dalam kehidupannya. Kita mahu menuju ‘ubudiyyah total kepada Allah swt dalam segenap aspek meliputi ‘aqidah, ibadah, akhlak dan agenda perjuangan. Keikhlasan dan tajarrud sebagai dua syarat utama yang seharusnya kita semua penuhi jika mendaulatkan Islam sebagai tunjang perjuangan.

Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah taghut. (An-Nahl:36)

Kita yakin dan mengimani Allah swt akan membenarkan janjinya kepada para hambaNya yang soleh dan beriman serta berjuang. Sejarah perang Ahzab akan berulang semula. Tentera muslimin yang diketuai oleh Rasulullah saw menghadapi gabungan raksasa tentera dunia; hampir-hampir mustahil untuk menang. Namun, akhirnya kemenangan daripada Allah swt datang selepas para muslimin bersatu di atas dasar aqidah dan diperkukuhkan dengan benteng ukhuwah Islamiah. Mereka memahami wala’ hanya untuk Allah, Rasulnya dan semua muslimin. Tiada tentera atas muka bumi yang mampu mengalahkan pasukan pejuang yang menjadikan Rasulullah sebagai Ketua dan Qudwah.

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang) (al-ahzab:21)

Semua maani-maani yang hebat ini diulang-ulang oleh semua umat Islam mulai malam Raya hingga saat Imam mengetuai solat sunat Aidil Fitri. Persoalan yang perlu kita fikirkan; adakah kita menghayatinya dan beramal di atas laungan takbir tersebut?  Sesungguhnya lafaz tersebut menggerunkan hati musuh Islam dan menggegarkan setiap satu kuasa taghut yang masih berdiri di atas bumi Allah.

Kenapa kandungan takbir raya seperti ini? Jawapannya, ingin mengingatkan semua umat Islam bahawa kejayaan berjihad melawan hawa nafsu hanya sebagai salah satu tangga-tangga dalam kamus Jihad yang luas.Ia sebagai pemula yang seharusnya dikekalkan dan disusuli dengan jihad-jihad yang lain. Ini juga memberikan satu kefahaman yang jelas bahawa kemenangan hakiki adalah pada harinya kita meraikan detik Islam menguasai dan memegang tampuk pemerintahan dunia. Itulah Hari Raya yang kita tunggu saat kedatangannya dengan amal dan usaha yang berterusan dan kesabaran para ulul ‘azmi dari kalangan rasul-rasul.

Ini dia agenda kita bersama. Tapi; bagaimana semuanya bermula? Ia bermula dengan kita mengembalikan jati diri Islam yang semakin hilang dalam peribadi bangsa Melayu beragama Islam di tanah air kita. Jatidiri muslim sejati yang sejahtera aqidah dan kuat ibadah. Kita mahukan muslim yang bertubuh kuat dan mampu melawan hawa nafsunya. Juga seorang yang menjaga waktu, menyusun urusan kehidupan harian dengan sistematik. Kita juga mahu membina kehendak kendiri yang kuat serta mampu berdikari dan mereka akan memberi manfaat kepada bangsa, negara dan Islam. Ayuh; mahasiswa dan mahasiswi di Mesir kita menyediakan persiapan yang lengkap untuk kembali berkhidmat di Malaysia nanti. Utamakan agenda bangsa dan agama daripada agenda peribadi nafsu yang inginkan kuasa semata-mata.

Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir Batin

Melayu Sepakat, Islam Berdaulat

Ustaz Shuhaib Ar-rumy Selamat

Pengerusi ISMA-Mesir

Semangat nafas panjang

June 5, 2010 at 8:16 pm | Posted in Isu Semasa, Motivasi Pejuang | 1 Comment

Ramai pihak sudah mula celik dan cakna dengan isu Palestin ekoran tindakan Israel menyerang konvoi kapal yang membawa bekalan makanan dan perubatan ke Gaza. Kita semua gembira dan seronok melihat perkembangan seperti ini apabila semua umat di dunia mahu ambil pusing tentang isu nombor satu Umat Islam masakini. Cuma kita tidak pasti adakah mood ini akan berpanjangan atau tidak. Sebab demam Piala Dunia  sudah dirasai bahangnya. Takut-takut media dan tumpuan dialihkan dari Gaza ke Afrika Selatan. Harapnya perjuangan kita ini tidak bermusim.

Tapi bagaimanakah semangat yang sedang membara kuat ini boleh dikekalkan untuk jangka masa yang lama? Biasanya yang berlaku adalah selepas beberapa hari ia akan luntur dan hilang “umph”nya. Sudah menjadi fitrah manusia yang diciptakan beserta  hawa nafsu adalah sebegini.  Justeru itu, mengenali tabiat nafsu adalah salah satu langkah utama untuk kita mulakan apa-apa perjuangan.

Sememangnya nafsu itu sentiasa akan mendorong tuannya untuk berehat dan berseronok dengan keselesaan. Dia suka memujuk untuk lawan perintah Tuhan dan Rasulnya. Sebaliknya, tabiat perjuangan pula adalah letih dan memenatkan. Jadi ada dua pertembungan di sini. Sebab itu mana-mana gerakan yang mahu perjuangkan isu umat hendaklah memberi penekanan tentang pendidikan nafsu atas manhaj nubuwaah. Sabda Rasulullah saw. yang bermaksud “Tidak (sempurna) iman seseorang daripada kalangan kamu sehingga hawa nafsunya mengikut apa yang telah aku bawa (risalah nubuwwah)”.  Perjuangan dan jihad Palestin adalah tanggungjawab umat Islam keseluruhannya. Tidak ada seorang daripada kalangan kita yang akan selamat di Padang Mahsyar jika tidak memberi sumbangan terhadap nasib saudara seImannya di seluruh dunia. Kita juga seharusnya sedar bahawa penghujung setiap perjuangan adalah pertembungan al-Haq dan al- Batil. Usaha ini tidak akan dimenangi oleh hanya satu generasi. Ianya memerlukan satu kesinambungan generasi demi generasi sehingga tiba hari Al-Quds dibebaskan.

Oleh demikian, usaha kita hari ini bukan hanya tertumpu pada demonstrasi dan perhimpunan. Kerana mana-mana perhimpunan yang melibatkan angka-angka kosong tidak mampu untuk menamatkan riwayat hidup Zionis Israel. Perhimpunan, demonstrasi, kutipan derma itu sewajibnya didasari dengan usaha bersepadu penyediaan generasi yang akan meneruskan perjuangan hebat ini. Salahuddin tidak lahir sekelip mata. Sejarah perjalanan hidupnya dilatari kisah pengorbanan manusia yang bernama “murabbi” dalam episode kejayaannya membebaskan Bumi Isra Mikraj Nabi Muhammad saw. Kita mahu dedahkan Palestin kepada anak-anak kecil kita sejak mereka boleh mengenal huruf dan angka. Kita mahu generasi muda menjadi Saifuddin Qutuz dan Salahuddin sebagai idola menggantikan bintang bola sepak atau artis terkenal. Kita mahu masyarakat bangsa memiliki ciri-ciri umat terbaik dengan meletakkan agenda ummat sebagai prioriti dalam kehidupan. Ramai manusia boleh berlaung dengan suara yang kuat, tapi tidak ramai yang sanggup untuk bersabar dalam melatih jiwa dan nafsu.

Kita mahukan manusia yang mempertahan maruah umat Islam adalah daripada kalangan mereka yang sedar dan menunaikan arahan Allah dan Rasulullah saw. Kita mahu obor yang kita pengang ini, bakal disambut generasi demi generasi. Hinggalah Allah swt mewariskan dunia ini dan apa yang diatasnya.

Perjuangan kita berteraskan akhlak mulia

February 6, 2010 at 8:09 am | Posted in Buat Remaja, Isu Semasa, Motivasi Pejuang | 2 Comments

Menilai kemelut politik tanah air yang tidak berkesudahan dengan setiap pihak masing-masing berusaha menjatuhkan musuhnya yang lain. Makin hari, jiwa kita sudah muak dan bosan dengan tahap pemikiran politik yang mudah oleh para pemainnya yang lebih mengutamakan nafsu berbanding saranan iman dan hidayah Allah swt. Di dalam kesibukan semua rakyat menyebut, KUASA RAKYAT!!, di situ ramai yang lupa bahawa asas tarbiyyah yang kukuh merupakan penjamin kepada kemenangan berterusan. Adakah kita hanya mengimpikan kejayaan yang sekadar berusia 2-3 hari sebelum kemenangan itu dirampas oleh mereka yang tidak bertanggungjawab? Sudahkah kita menganalisa jalan perjuangan yang akan kita korbankan segala usia dan jiwa ini padanya atau kita hanya mengikut rentak semasa dan arus terkini suara-suara yang melaungkan perubahan itu? Semua persoalan ini seharusnya generasi kini tangani dengan ilmu yang jelas berdasarkan seerah Jihad Rasulullah saw dan para sahabat dalam usaha mereka menegakkan Islam di bumi nyata.

Misi yang Utama

Selaku umat yang diperintahkan di dalam Al-Quran dengan seruan menyeru kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran, kita perlu peka dan sedar akan peranan besar yang akan kita tunaikan ini. Oleh itu, secara ringkas kita nyatakan bahawa misi utama ialah:

Melahirkan Umat Rabbani

Firman Allah swt “Jadilah kalian rabbaniyyin (golongan yang ) daripada apa yang kamu pelajari daripada al-Kita(Al-Quran) dan apa yang kamu telah pelajari”. Dalam kamus Lisan al-Arab, rabbani bermaksud ilmu yang berkaitan dengan ketuhanan dan seorang ‘alim yang memiliki pengetahuan mendalam tentang ilmu dan agama. Al-Qurtubi pula menyebut di dalam Tafisrnya: Rabbani adalah seseorang yang ‘alim tentang ilmu Allah dan beramal dengannya. Imam al-Ghazali menyatakan Rabbani adalah mereka yang sangat hampir kepada Allah swt.

Umat yang Rabbani memiliki 3 ciri:

1. Umat yang memiliki Risalah. Kandungannya adalah Al-Quran dan Sunnah Rasulullah saw yang tertegak padanya segala nilai, prinsip asas dan tujuan kehidupan berkaitan aqidah dan akhlak. Umat ini seharusnya difahamkan tentang agama Islam dengan kefahaman yang syumul. Umat yang memiliki pengetahuan jelas tentang hala tuju dan hak asasi sebagai individu Daulah(negara) dan juga agen kepada perubahan. Kita menolak perubahan yang berdasarkan semangat dan hawa nafsu semata-mata. Kita perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk mengajar serta mendidik masyarakat dengan pengetahuan yang luas tentang Islam.

2. Umat yang saling berkasih sayang kerana Allah swt. Kemenangan untuk menegakkan negara Islam yang syumul tidak akan dicapai dengan suasana masyarakat benci-membenci dan saling bermusuhan. Umat yang akan menjadi pendokong kepada kemenangan ini semestinya mempunyai hati yang saling terikat antara satu sama lain dengan rasa kasih dan hormat pada pandangan yang pelbagai. Allah swt berfirman: Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, Allah yang Maha melimpah-limpah rahmatnya akan menanamkan bagi mereka dalam hati orang ramai perasaan kasih sayang.(Maryam:96).

3. Umat yang mempertahankan Islam dan sanggup mengorbankan apa sahaja yang mereka miliki demi mendaulatkan Islam yang difahami sebagai sistem hidup yang lengkap.

Selepas menyempurnakan ciri sebuah umat Rabbani, datanglah kemenangan daripada Allah swt. Bukanlah kemenangan itu kecuali ia datang daripada Allah swt yang Maha Perkasa dan Maha Bijaksana.

Suara yang mewakili Umat

December 10, 2009 at 11:31 am | Posted in Motivasi Pejuang | 7 Comments

Nabi Ibrahim disebut dalam sebuah ayat al-Quran “Sesungguhnya Ibrahim merupakan ummat”. Syed Qutb menyebut di dalam Fi Zilal Al-Quran: Al-Quran mewatakkan Nabi Ibrahim sebagai model hidayah dan ketaatan; kesyukuran dan taubat. Disebutkan tentang Ibrahim sebagai Ummah. Ini boleh dikira bahawa baginda menyamai kebaikan dan barakah sebuah umah secara keseluruhan. Boleh juga dianggap baginda merupakan pemimpin (IMAM) yang dicontohi dalam urusan kebaikan. Seorang pemimpin yang diikuti amal kebaikannya umpama ummah di kalangan himpunan manusia dengan segala amalnya.

Dengan itu Nabi Ibrahim a.s diberikan kemuliaan membina Kaabah, Qiblat umat Islam seluruh dunia walau di mana sekalipun mereka berada. Itu menunjukkan bahawa baginda telah mengambil posisi yang utama dalam menyeru manusia sedunia kepada hidayah dan petunjuk Allah swt. Kita lihat juga nilai pengorbanan yang dipamerkan oleh keluarga Rabbani yang diketuai oleh Nabi Ibrahim as bersama isteri, Hajar dan Nabi Ismail sebagai anak. Model utuh yang menonjolkan ciri-ciri keluarga yang taat dan patuh kepada suruhdan Allah swt. Nabi Ibrahim as bermimpi menyembelih anaknya sebagai korban, dan mimpi para nabi merupakan wahyu. Maka ditanya pendapat anak buah hatinya itu tentang peristiwa di dalam mimpi, lantas dijawab “Wahai ayahanda, turutilah arahan yang diperintahkan, nescaya kau akan dapati aku di kalangan golongan yang sabar”. Begitu juga ketika Allah swt mengarahkan Nabi Ibrahim as meninggalkan isteri tercinta, Hajar bersama Ismail di sebuah padang pasir kontang. Tiada perkataan yang mampu diungkap atas beratnya hati Ibrahim dan isteri untuk berpisah dan melaksanakan wahyu yang amat sukar ini. Lalu Hajar bertanya; “Jika ini adalah wahyu daripada Allah, Maka Allah sekali-kali tidak akan membiarkan kami tanpa perlindungan”.

Beberapa pengajaran yang boleh kita sama-sama kongsikan daripada kisah unggul keluarga Rabbani-Model Bait Muslim Idaman untuk kita semua.

1. Dakwah ini adalah bermula dengan usaha individu kerana kita semua dipertanggungjawabkan oleh Allah swt di padang Mahsyar sebagai individu. Berdasarkan kefahaman ini, kita tidak hanya menunggu bilangan yang banyak untuk mula bekerja; tapi kita mula dengan projek dakwah individu yang akhrinya akan bercambah dan meluas. Ini menolak alasan ramai orang yang tidak bekerja disebabkan dia keseorangan di sesebuah kawasan atau lokaliti. Misalnya, pelajar yang sedang menuntut ilmu di negara seperti Amerika Syarikat selalunya bilangannya sedikit berbanding pelajar di Mesir. Usah jadikan bilangan dan angka sebagai penghalang kita menrangkul anugerah Syurga. Bukankah Musab bin Umair berseorangan menyebarkan dakwah di Yathrib sebelum Hijrah Nabi Muhammad saw?Jadikan Nabi Ibrahim sebagai model bahawa dengan individu kita mampu bertindak sebagai sebuah ummah yang ramai.

2. Pembentukan sebuah keluarga Muslim bukanlah angan-angan Mat Jenin. Terdapat banyak kisah keluarga Qudwah seperti ini. Asasnya ialah pengukuhan makna Tauhid yang total kepada Allah swt. Seharusnya kita perlu mengambil berat tentang perkara ini. Didik dan seru ahli keluarga kita untuk tunduk dan serah segalanya kepada Manhaj Allah swt. Bagaimana? Ini ada beberapa cadangan yang boleh dipraktikkan.

– Hentikan segala aktiviti apabila mendengar seruan Azan. Ajak anak-anak lelaki ke surau/masjid untuk berjemaah dan tekaknkan kepada anak-anak perempuan untuk solat di awal waktu.

– Lazimi rehlah dan berkelah sesama ahli keluarga. Tanya pada mereka siapa yang menjadikan laut, pokok, sungai, harimau dan lain-lain. Allah swt yang menjadikan semua ini.

– Fahamkan kepada ahli keluarga  bahawa rezeki dan ajal hanya dalam kekuasaan Allah swt. Bawalah mereka menziarahi hospital, orang sakit dan majlis pengebumian jenazah di perkuburan. Tanamkan nilai ini dengan sebaiknya.

Kerana, keluarga yang Rabbani hanya akan dibina apabila seluruh keluarga mencintai Allah swt lebih daripada perkara lain.

3. Peranan isteri yang solehah amat penting dalam meneguhkan suami pendakwah dan mendidik generasi Rijal yang akan mempertahankan Islam. Hayati dan cuba resapkan kata-kata Hajar “Allah sekali-kali tidak akan membiarkan kami”. Suami yang sedang kesedihan dalam menghadapi urusan dunia dan jua dakwah merasa sejuk tatkala mendengar hembusan kalimah seperti ini. Wahai isteri-isteri pendakwah sekalian! Ketahuilah dalam santunan kata-katamu mengandungi azimat yang cukup sakti. Teguhkan para suamimu yang sedang berjuang di Jalan Allah. Jika berjauhan untuk seketika, hantar ucapan berbentuk SMS yang memberikan kekuatan dalaman bukannya rintihan dan keluhan yang mampu menggoyahkan hati si suami dari berjuang. Tenangkan mereka kerana Syurga adalah balasan kepada isteri yang solehah seperti ini. Bukankah wanita pertama memasuki Syurga adalah kerana dia menyambut suaminya yang pulang berjihad dengan segelas minuman penghilang kehausan, sebatang tongkat penegak yang bengkok, sesingkap betis sebagai tempat suami menunaikan hajat nafsu?

Agenda besar penentu corak kehidupan

November 9, 2009 at 3:03 pm | Posted in Uncategorized | 12 Comments

Bagi seseorang yang benar-benar ingin mencapai sesuatu yang besar, nescaya dia pasti akan menjelmakan cita-citanya itu dalam kehidupan seharian. Masa dan waktu tidak akan dibiarkan berlalu begitu sahaja tanpa di isi dengan perkara bermanfaat. Setiap pergerakan dan nafas yang keluar masuk dari tubuh dipastikan bagi menggapai tujuan tertinggi. Jadi kita sebagai barisan mahasiswa yang juga pendakwah hendaklah serius dalam memikirkan agenda kita adalah besar dan agung.

Kita bukan hanya mahu pulang menggalas ijazah atau lain-lain sijil akademik semata-mata. Bukan jua hanya membataskan kemahiran kepada pengurusan organisasi dan pengendalian mesyuarat. Tidak juga sekadar berputar di sekitar usrah, qiamullail dan kem-kem motivasi. Kita mesti letakkan sesuatu yang besar dalam jadual rutin harian kita. Usah kita jadi seperti manusia kebanyakan yang mengulangi putaran yang sama setiap hari. Akhirnya tiba masanya untuk berpindah ke dalam liang lahad. Dirinya sendiri tidak menyedari perjalanan hidup yang cukup singkat.

Seorang tabiin pernah menyatakan “Hammuka ala qadari ma ahammak” yang bermaskud “Keseriusan anda adalah bergantung pada kadar apa yang kamu sibukkan”. Ini bererti jika seseorang itu sibuk dengan membincangkan sesuatu yang tidak berfaedah, maka tahap seriusnya dalam hidup ini juga seperti itu. Saya melihat ramai di kalangan kita kurang mahir menyusun jadual waktu dan menentukan awlawiyat dalam pengurusan. Kadangkala kita meletakkan urusan yang sepatutnya dianggap penting di tempat nombor 2 ataupun seterusnya. Begitu juga sebaliknya. Kita menjadikan perdebatan tentang sesuatu yang tidak penting sebagai salah satu kesibukan yang utama. Akibatnya, banyak masa kita terbuang begitu sahaja. Peribadi diri dan pembangunan syakhsiah tidak diberikan penekanan. Skil-skil major sebagai seorang mahasiswa seperti bakat kepimpinan, pengurusan ogranisasi, perhubungan sentara, berhujah secara ilmiah tidak dikuasai. Isu penguasaan bidang takhasus juga menjadi satu persoalan besar kepada kita semua. Adakah kita benar-benar menguasai ilmu yang kita pelajari atau ia sekadar tiket dalam peperiksaan bagi mandapatkan segulung ijazah? Sebagai graduan Azhari dan jua Timur Tengah, kita seharusnya memastikan diri kita bersedia untuk bersaing dengan lulusan graduan daripada universiti tempatan maupun lepasan universiti luar negara yang lain. Sejauh manakah kita mampu menongkah arus materialistik masyarakat di tanah air nanti.

Sekirannya kita jelas dan terang apakah kesibukkan yang seharusnya kita libatkan dan korbankan diri dan masa, sudah tentu tidak ada bagi kita ruang-ruang kecil untuk sesuatu yang tidak bermanfaat. Ada manusia akan sibuk mengulas dan bercakap-cakap tentang kerja orang. Mereka boleh kita ibaratkan sebagai penonton kepada perlawanan bola sepak. Mereka akan terus bertutur dan mengkritik. Usah dipedulikan dengan semua itu kerana kita lah pemain dalam padang dan gelanggang. Kita lebih mengetahui taktik dan cara kerja kita. Ada juga manusia yang sanggup menghabiskan masa menjadi golongan “Nammam” iaitu istilah peribahasnya batu api. Kerjanya bangun pagi dan update blog supaya manusia ini berpecah belah dan meruntuhkan kasih sayang antara satu sama lain. Mereka menyatakan ini adalah blog peribadi dan hak mereka untuk tulis apa sahaja. Saya mahu katakan pada mereka; Tulislah dan publish semahunya, tapi setiap kita ada buku catatan masing-masing. Jika anda rasa itu usaha anda bagi menggapai redha Allah swt, teruskan hingga ke akhir hayat anda. Tapi awas, jika hati kecil ada membisikkan tentang ragunnya tentang kerja itu, elok benar anda hentikan sebelum Izrail menjengah tiba.

Agenda peningkatan diri dan ilmu itu yang perlu kita jadikan dalam tempoh masa di perantauan ini. Perkara-perkara riuh dan gempak itu kadangkala mampu mengalihkan pandangan kita daripada mencapai objektif dan sasaran yang telah kita gariskan. Jika ada ribut dan taufan, kita umpamakannya seperti ribut dalam secawan kopi. Hanya satu putaran sementara bagi melarutkan sesuatu di dalamnya!

Wawancara bersama Sumayyah Masyhur

September 15, 2009 at 9:57 pm | Posted in Biografi, Motivasi Pejuang | 1 Comment

mustafa

Berikut adalah wawancara khas Ikhwanonline.com bersama anak perempuan Al-Marhum Ustaz Mustafa Mashur, Mursyidul Am ke 5 Jamaah Ikhwan Muslimin tentang pengalamannya berpuasa bersama-sama dengan ayah tercinta.

Sudah pasti terdapat kenangan indah bagi Ramadhan bersama ayah anda, Syeikh Mustafa Masyhur. Boleh kongsikan bersama kami bagaimana beliau melatih anda berpuasa?

Saya sudah mula berpuasa sejak usia kecil, seingatnya ketika berumur 4-5 tahun, ketika ayah masih di dalam tahanan penjara. Beliau sering menggalakkan kami dengan puasa sunat (Isnin-Khamis- 3 hari setiap pertengahan bulan). Beliau juga memberikan nasihat dan mengikuti perkembangan setiap orang ahli keluarganya.

Boleh anda kisahkan bagaimana jadual beliau bersama keluarga sepanjang Ramadhan?

Pada hakikatnya, harinya pada Ramadhan tidak berbeza dengan hari-hari di bulan lain dalam amalan ibadah seperti tilawah Al-quran, puasa, sedekah dan qiamullail. Qiamullail beliau semuanya sama pada setiap masa sekalipun bukan pada Ramadhan. Beliau mentarbiyyah kami dengan perkara ini meskipun ada juga amalan tambahan seperti perjumpaan sebelum Maghrib untuk membaca Mathurat dan tilawah Al-Quran. Kami sekeluarga akan bangun sejam setengah sebelum Subuh untuk Qiamullail dan Sahur bersama-sama. Kadangkala kami akan duduk beribadah sehingga matahari terbit (Syuruq).

Apakah nilai-nilai tarbawi yang beliau tumpukan untuk ditanam dalam jiwa kalian sepanjang Ramadhan?

Banyak. Menjaga hubungan keluarga, sifat pemurah, tidak membazir dalam makanan, berasa cukup dengan pembahagian Allah swt. Beliau juga sangat menitik beratkan supaya pengisian masa yang berharga, lebih-lebih lagi dakwah semasa Ramadhan adalah satu peluang keemasan. Begitu juga sifat bertolak ansur dan berkasih sayang disemai pada bulan yang mulia ini.

Bagaimana pula jadual dakwah beliau pada Ramadhan?

Beliau sangat sibuk pada bulan Ramadhan dengan perjumpaan dengan ikhwah-ikhwah samada di Kaherah maupun di daerah-daerah lain. Beliau sering berbuka puasa bersama ikhwah-ikhwah dan sedikit sahaja hari untuk beliau berbuka puasa bersama keluarga. Beliau terlalu sedikit berehat dan tidak melepaskan waktu berlalu tanpa dakwah. Baginya dakwah kepada Allah swt merupakan bekalan sepanjang Jalan Dakwah.

Adakah beliau membiasakan amalan tertentu pada Ramadhan?

Ya. Beliau sentiasa menghubungi saudara mara dan ahli keluarga pada malam pertama Ramadhan. Beliau juga selalu mengagihkan buah tamar/kurma kepada rakan dan jiran tetangga. Di samping itu, beliau tidak akan ketinggalan menghadiri majlis berbuka puasa bersama ahli keluarga yang lain. Beliau juga akan solat Hari Raya Aidil Fitri di kampung halaman dan mengimami penduduk kampungnya. Selepas itu, beliau akan beramah mesra dengan mereka sambil menyampaikan mesej Islam yang syumul.

Syurga bukan untuk mereka yang sukakan kerehatan

September 13, 2009 at 6:48 pm | Posted in Buat Remaja, Motivasi Pejuang | 1 Comment

rama

Tajuk ini seharusnya menjadi slogan kita semua untuk 10 malam terakhir Ramadhan kali ini. Diriwayatkan bahawa Aswad bin Khalid An-Nakhaie sangat bersungguh di dalam beribadah, dan berpuasa hingga tubuhnya menjadi hijau dan kekuningan akibat terlalu penat. Lalu seorang bernama Alqamah bin Qais bertanya kepadanya: Mengapa engkau menyeksa diri dengan ibadah seperti ini? Lalu dia menjawab: Sesungguhnya aku inginkan kerehatan buat tubuh ini. Dan sesungguhnya urusan ini sangat berat. Urusan ini sangat berat. Beliau pun menangis teresak-esak. Apabila ditanya mengapa bersedih? Beliau berkata: Mana mungkin aku tidak bersedih, siapakah lagi layak untuk menangis seperti ini selain aku? Jikalau Allah memberikan keampunannya kepadaku, nescaya aku akan berasa malu dengan-Nya. Kita akan sentiasa malu dengan seseorang yang pernah kita lakukan kesalahan padanya. Apatah lagi jika yang kita lakukan kesalahan ini ialah Tuhan kita?

Telah tiba hari-hari 10 akhir Ramadhan. Malam-malam yang hanya dimenangi oleh golongan yang bersungguh-sungguh sahaja. Tempoh terbatas dan boleh dibilang. Barangsiapa yang mengutamakan kerehatan, tiadalah baginya ganjaran Lailatul Qadr. Hati yang bersih dan terikat dengan Allah sahaja yang akan berjaya. Imam Syafie berkata: Disunatkan menambahkah kesungguhan pada malam-malam akhir Ramadhan. Apakah keistimewaan malam-malam ini? Continue Reading Syurga bukan untuk mereka yang sukakan kerehatan…

Muslimah dibunuh di Germany, Ya Mu’tasim!!!

July 5, 2009 at 8:33 am | Posted in Diari Al-Azhar, Isu Semasa | 5 Comments

9

Marwa El-Sherbini, mangsa sifat perkauman buas tajaan Barat yang kononnya mendabik dada sebagai jaguh keadilan sesama manusia. Hanya Islam yang mengiktiraf hak semua bangsa di dunia.

Berita terkini yang amat menggemparkan kita semua sebagai umat Islam. Seorang muslimah warga negara Mesir yang sedang hamil 3 bulan telah dibunuh oleh seorang pelampau perkauman berbangsa German hanya kerana beliau memakai tudung kepala. Menurut sumber berita, wanita tersebut, Marwa El-Sharbini telah memfailkan kes tuduhan terhadap pembunuhnya itu, Alex kerana telah memanggilnya sebagai pengganas kerana beliau memakai hijab di sebuah jalan di bandar German. Pada hari Rabu yang lalu, hakim mahkamah memutuskan bahawa muslimah tersebut telah memenangi kes yang difailkannya itu. Oleh kerana tidak berpuas hati dengan keputusan itu, lelaki itu terus menikam Marwa lalu membunuhnya. Marwa mengikut suaminya yang sedang menyelesaikan kajian beliau dalam bidang genetik di salah sebuah universiti di sini. Laporan media turut menyatakan bahawa suaminya juga ditembak secara tidak sengaja oleh pasukan polis. Berita belum dapat dipastikan samada beliau telah meninggal dunia atau masih koma.

Pembunuhan ini menjadi isu hangat bagi negara Eropah yang sedang mengalami perdebatan hangat akibat sikap mereka yang tidak adil terhadap pakaian seorang muslimah. Baru-baru ini, Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy membuat satu kenyataan kontroversi dengan menyatakan “Niqab”(penutup muka/purdah) tidak boleh diterima di Perancis.

TURKEY PARLIAMENT

10 tahun yang lalu,  pada 3 Mei 1999, isu hijab juga telah menjadi diskriminasi oleh pihak sekular di Turki. Merve Kavakci,seorang  ahli Parlimen yang dijadualkan untuk mengangkat sumpah di hadapan speaker telah cuba dihalau keluar dari bangunan parlimen kerana memakai tudung kepala. Tudung kepala itu dianggap bertentangan dengan prinsip sebuah negara sekular yang memisahkan politik dan agama. Dengan nada tegas, wanita ini berkata “Kepalaku ditutup adalah berdasarkan iman saya, saya akan pertahankan hak saya hingga ke penghujungnya”. Golongan yang tidak memahami Islam sentiasa akan berusaha supaya dihapuskan segala lambang kewujudan Islam. Ketakutan mereka kepada Islam melebihi ketakutan seorang anak kecil pada kegelapan malam.

Malunya umat ini. Tatkala wanita muslimah dibunuh, dihina dan dikeji hanya disebabkan mereka mempertahankan suruhan Allah di dalam surah An-Nur; tiada pun tindakan berani untuk mempertahankan wanita-wanita ini. Para pemimpin semuanya lebih sibuk dengan merasmikan pertunjukan fesyen yang menghairahkan. Di mana suara umat? Sesungguhnya Allah tidak akan membiarkan golongan penjenayah ini lari. Bagi mereka semua azab pedih di Neraka.

Kelahiran Mujahid bernama Yahya

June 29, 2009 at 9:14 pm | Posted in Diari Al-Azhar, Isu Semasa, Kenangan Dahulu, Motivasi Pejuang | 26 Comments

Photo-0104

Segala lafaz syukur dan rasa tawadhu kepada Allah kerana telah dikurniakan cahaya mata pertama dalam Keluarga Muslim yang telah pun berusia setahun setengah ini. Tanggal 28 Jun 2009 tepat jam 5.30 pagi, Yahya bin Shuhaib Ar-rumy telah selamat dilahirkan di Hospital Pakar At-Taufiqiah, Kaherah, Mesir dengan berat 3.5 kg. Ibu dan bayi dalam keadaan stabil dan sihat sejahtera.

Ketika saya bersekolah rendah dahulu, saya pernah membelek-belek koleksi buku dakwah ayah dan mak di rak. Saya terjumpa sebuah buku bertajuk “Bekalan di atas Jalan Dakwah (Zad ‘ala Toriq)” karangan al-Marhum Ustaz Mustafa Masyhur. Tatkala saya membuka muka surat pertama, ada sebuah catatan bertulis tangan berbunyi “Ku Hadiahkan buku ini untuk dua orang anakanda kesayanganku Shuhaib Ar-rumy dan Salman Al-farisi. Semoga menjadi pewaris perjuangan ini.  Daripada Ayah dan Mak”. Sedangkan tarikh buku itu dibeli adalah pada 1985, tahun yang sama saya dilahirkan. Jadi saya fahami tulisan itu adalah doa yang tersirat daripada kedua ibubapa saya untuk anak-anaknya mewarisi perjuangan dakwah yang panjang ini. Sempena kelahiran putera sulung saya ini, saya mencontohi apa yang pernah ibubapa saya lakukan. Saya menulis entri ini untuk tatapan anakanda kesayangan,Yahya bin Shuhaib Ar-rumy suatu hari nanti. Moga kelahiranmu bakal mengulangi kembali sejarah tokoh-tokoh unggul ummah yang bernama YAHYA:

1. Nabi Allah Yahya a.s:

Allah swt berfirman di dalam Al-quran : Wahai Yahya, ambillah Kitab ini dengan kuat (keazaman, teguh dan bersungguh).(12:Maryam). Ibnu Kathir menyebut di dalam tafsirnya, bahawa kuat itu bukan semata-mata kuat jasmani bahkan ia adalah kekuatan jiwa dan ruh. Usaha dan jihad untuk menegakkan kalimah Allah di atas muka bumi ini bukanlah kerja sehari semalam. Dakwah ini telah kita warisi daripada generasi ke generasi. Justeru, kekuatan diri dan ruh adalah unsur utama bagi pemikul risalah. Kini tibalah giliranmu wahai Yahya untuk dirimu bangkit dan menggolongkan diri bersama kelompok terpilih para pejuang. Moga maani tarbawi di dalam ayat seruan kepada Nabi Yahya ini akan menyerap segar dalam sanubarimu.

2. Yahya ‘Ayyash

hamas_ayyash

Jurutera Istisyhad bagi kebangkitan jihad di bumi barakah Palestin. Yahya ‘Ayyash adalah master-mind jihad Palestin yang telah menghidupkan kembali erti jihad dan pengorbanan serta ‘ezzah dan karamah setelah sekian lama tersungkur di meja rundingan tajaan Barat dan pengkhianat ummah. Beliau yang berkelulusan Ijazah Kejuruteraan Elektrik dari Universiti Birzeit, Palestin bertanggungjawab terhadap puluhan operasi istiyshad yang telah mengorbankan banyak pengganas Yahudi dan mencederakan ratusan lain daripada mereka. Sehingga kini idea yang dipelopori beliau dijadikan sebagai operasi utama oleh para mujahidin di Palestin untuk membebaskan al-Quds. Semoga anakanda Yahya menjadikan Asy-syahid Yahya ‘Ayyash sebagai model perjuangan dalam jihad mubarakah ini. Ameen Ya Rabb.

– Jazakallah kathira dan terima kasih kepada semua yang mendoakan untuk kesejahteraan keluarga kami. Balasan dari sisi Allah adalah sebaik-baik balasan dan ganjaran. Daripada Abu dan Ummu Yahya.

Photo-0090Photo-0102

Photo-0092

Next Page »

Blog at WordPress.com.
Entries and comments feeds.